PEMAIN Perak, Mohd Shahrul Mohd Saad (empat kiri) menjalani latihan di Kompleks Bola Sepak Perak menjelang aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) sabtu ini. FOTO Effendy Rashid
PEMAIN Perak, Mohd Shahrul Mohd Saad (empat kiri) menjalani latihan di Kompleks Bola Sepak Perak menjelang aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) sabtu ini. FOTO Effendy Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: Kapten Perak Shahrul Saad tidak mempunyai masalah untuk membentuk gandingan mantap di barisan pertahanan bersama pemain import baharu, Zac Anderson pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, Sabtu ini.

Shahrul berkata, dia dan rakan sepasukan lain sudah bersedia untuk mengekang asakan pemain pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dibarisi pemain serangan berbahaya.

Menurutnya, kehadiran pemain kelahiran Australia itu di dalam pasukan 'The Bos Gaurus' banyak membantu memperkukuhkan barisan pertahanan berdasarkan pengalaman luas dimilikinya.

"Dia (Anderson) pun dah biasa dengan liga kita, kehadirannya ke Perak banyak membantu pasukan terutama barisan pertahanan,” kata Shahrul.

"Insya-Allah tiada masalah bentuk gandingan dengannya termasuk bantuan daripada semua pemain pasukan."

Shahrul yang juga pertahanan skuad negara berkata, dia dan rakan sepasukan akan berusaha memenangi perlawanan itu sekali gus membawa pulang Piala Sumbangsih ke Perak.

“Apa yang penting buat masa ini adalah fokus sepenuhnya daripada semua pemain dan bermain secara berpasukan seperti mana dilakukan pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.

“Pasukan Perak tidak mempunyai masalah untuk membentuk skuad yang mantap berikutan hampir kesemua pemain adalah daripada skuad yang sama ketika menjulang Piala Malaysia musim lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 5:17 PM