GAMBAR yang sempat dirakam Rasan.
GAMBAR yang sempat dirakam Rasan.
Nazirul Roselan

“PERTAMA kali saya terserempak dengan harimau belang secara ‘live’ ada 26 tahun lalu iaitu 1992).

“Tak sangka saya sekali lagi ternampak haiwan berkenaan ketika ia menyeberang jalan, pada malam tadi,” kata Rasdan Salleh.

Rasdan, 43, yang juga pemilik Danz Eco Resort, Taman Negara terserempak dengan haiwan itu di Taman Negara Kuala Tahan, dekat Jerantut.

Ketika kejadian 8,30 malam itu, dia bersama dua kakitangannya dalam perjalanan dari Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling untuk ke Kuala Tahan.

Menceritakan kejadian, Rasdan berkata, mereka tergamam apabila melihat harimau belang atau nama saintifiknya, Panthera Tigris.

“Tiba-tiba, seekor harimau keluar dari semak dan menyeberangi jalan.”

“Kelam kabut saya keluarkan telefon untuk rakam video sebagai kenangan dan disimpan untuk ditunjuk kepada anak-anak“, katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Rasdan turut memuat naik video yang berdurasi enam saat itu di laman sosial Facebook dan ia kemudian tular.

Dia juga sudah memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengenai kejadian.

“Kami harap PERHILITAN dapat mengambil inisiatif sewajarnya kerana bimbang akan keselamatan penduduk yang melalui jalan itu.

“Kita juga risau jika haiwan itu menjadi mangsa pemburu haram,” katanya.

Pada 29 September lalu, Juruteknik Landskap Pesona Village Resort Taman Negara, Shahrul Azwan Abdul Halil, 27, bersama tiga rakannya turut menemui harimau liar yang sedang melintas jalan di kawasan Bukit Dedari, jam 3.45 petang.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Pahang, Ahmad Azhar Mohamed, tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan reaksi mengenai penemuan kedua harimau berkenaan.

Tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah harimau yang sama ditemui di kawasan Bukit Dedari, dalam tempoh selang lima hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 5:29 PM