PENDUDUK Orang Asli di Kampung Yong melihat kediaman yang roboh akibat diserang gajah jantan awal pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
PENDUDUK Orang Asli di Kampung Yong melihat kediaman yang roboh akibat diserang gajah jantan awal pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Roselan Ab Malek


Jerantut: Lima belas keluarga Orang Asli di Kampung Yong, Kuala Tahan, dekat sini, bertempiaran lari dalam gelap selepas seekor gajah jantan menyerang penempatan mereka jam 2 pagi tadi.

Penduduk Orang Asli etnik Bateq, Cangap Jusoh, 27, berkata, rumah kayu tempat tinggalnya bergoyang dan terdengar bunyi yang kuat di luar terutamanya di dapur.

"Saya terus bangun dan pergi ke arah dapur. Saya terkejut melihat seekor gajah sedang menolak dan menggoncang dinding dengan belalainya dan cuba mendapatkan makanan di dapur.

"Saya terus keluar dari rumah menyelamatkan diri ke tempat selamat sambil menjerit meminta jiran bangun menyelamatkan diri," katanya.

Dia berkata, semua 15 keluarga berjaya keluar dari rumah masing-masing dan lari ke tempat selamat.

Katanya, sudah lima kali serangan gajah berlaku sejak awal tahun ini namun kejadian awal pagi tadi antara yang paling dahsyat kerana membabitkan kerosakan tempat tinggal dan makanan seperti beras, mee segera dan susu.

Katanya, sebelum ini, gajah hanya memusnahkan tanaman penduduk seperti ubi kayu dan pisang.

Rakannya, Tomok Ardi, 27, berkata, apabila terdengar jeritan mengenai kehadiran gajah, suasana bertukar menjadi kelam-kabut apabila penduduk membawa keluarga masing-masing lari menyelamatkan diri dalam keadaan gelap.

"Tidak ada jalan lain yang selamat. Kami cuma berlari ke arah pinggir Sungai Tembeling dan berkumpul di kawasan lapang berdekatan tebing sungai sambil berwaspada kalau-kalau haiwan itu mengejar kami.

"Kami berjaga hingga ke pagi dan selepas hari siang barulah kembali semula ke kediaman dan mendapati beberapa pondok tempat tinggal roboh dan barang makanan berselerak di tanah," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Nature Lifeguard, Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim berkata, kejadian pencerobohan gajah liar di perkampungan Orang Asli kerap kali berlaku sebelum ini, tetapi sejak akhir-akhir ini haiwan itu semakin agresif selain memusnahkan tempat tinggal dan makanan.

"Dalam tempoh seminggu, ancaman gajah turut membabitkan penempatan Orang Asli Kampung Dedari, Kampung Yong, Kampung Teresek dan kelmarin cuba menceroboh Kampung Tabung, tetapi tidak dapat masuk kerana berjaya dihalau penduduk.

"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diharap memberikan kerjasama menangkap dan memindahkan haiwan itu ke pusat santuari untuk mengelakkan ancaman terhadap tempat tinggal, harta benda malahan nyawa Orang Asli Bateq di pinggir Sungai Tembeling," katanya.

Katanya, kejadian di Kampung Yong membimbangkan penduduk kerana turut berlaku kejadian gajah menyerang Kampung Simoi Baru di Lipis sehingga mengakibatkan kematian seorang wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 1:00 PM