LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Muhaamad Hafis Nawawi


LIMA perompak bertopengkan pelitup muka yang menyamun van milik sebuah syarikat keselamatan di Rawang kelmarin, dikesan turut melarikan selaras senapang pump gun dan wang tunai berjumlah RM2.5 juta.

Dalam kejadian 10.50 pagi itu, anggota polis Pusat Kawalan Daerah Gombak menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki memaklumkan lima suspek melarikan van itu bersama sepucuk pump gun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lokasi kejadian rompakan berlaku di hadapan pintu masuk di sebuah pusat beli-belah.

Katanya, rompakan berlaku ketika van itu berhenti di bahu jalan untuk memindahkan wang ke sebuah bank yang berada di dalam pusat beli-belah berkenaan.

"Suspek mengekori van syarikat keselamatan itu dengan menaiki van model Nissan Vanette warna perak.

"Penjenayah terus menyerang pekerja syarikat keselamatan sebaik pintu van itu dibuka. Suspek didakwa menggunakan pelitup muka dan salah seorang daripada mereka memakai topi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini.

Arifai berkata, van yang dilarikan itu ditemui di dalam keadaan terbakar di Jalan Velox, Rawang, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian bersama tiga kakitangan syarikat keselamatan yang ditemui selamat.

Katanya, kawasan van syarikat keselamatan dibakar itu adalah lokasi terpencil dan berhampiran stor barangan simpanan kerja kontrak.

"Setakat ini, tiga pekerja syarikat keselamatan itu berusia 28 hingga 64 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan direman bermula semalam sehingga 4 Ogos lalu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat bolehlah menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Ridzuan Rooslan di talian 0361262222 atau 0146642011," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan kumpulan perompak melarikan van sebuah syarikat keselamatan kemudian bertindak membakar van berkenaan sebelum melarikan beberapa guni dipercayai berisi wang berjumlah jutaan ringgit.

Berita berkaitan

Serang hendap van duit

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 2:33 PM