GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Seorang pengawal keselamatan ditahan polis untuk membantu siasatan selepas dia dipercayai melepaskan tembakan di tempat awam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian dipercayai berlaku pada 5.23 petang.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan dari MERS 999 daripada seorang lelaki yang memaklumkan seorang pengawal keselamatan melepaskan tembakan di luar pintu bank.

"Tembakan itu terkena lantai kaki lima bank di Taman Ria Jaya.

"Hasil siasatan awal mendapati, pengawal keselamatan berusia 37 tahun itu mempunyai lesen senjata sah selama enam tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, pada waktu kejadian, suspek bersama dua rakannya bertugas ketika itu sebelum mereka masuk ke dalam bank.

Beliau berkata, manakala suspek ketika itu sedang bersiap sedia di luar bank dengan memegang selaras pump gun.

"Selepas rakan sekerja selesai masukkan wang ke dalam van, suspek mahu mengosongkan senjata di hadapan bank.

"Ketika mengosongkan senjata, suspek dipercayai tertekan picu dan melepaskan tembakan ke bawah dan tembakan terkena kaki lima bank," katanya.

Adzli berkata, dalam kejadian itu, tidak ada sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda.

Beliau berkata, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah membuat pemeriksaan pada picu pump gun dan pump gun milik suspek untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

"Selaras pump gun 'Hawk Arms' dan satu kelongsong peluru 12 bore dibawa untuk ujian balistik forensik Maktab Polis Cheras.

"Suspek bersama rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

"Suspek yang berasal dari Selama, Perak tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 11:41 PM