GAMBAR kiri atas, Aileen  dan anak perempuannya Aryana dan bawah, contoh model McLaren. Gambar kanan, julangan api kebakaran selepas kereta McLaren dipandu Heitmann bertembung dengan SUV mangsa. FOTO San Diego Police Department, Facebook, NBC/San Diego
GAMBAR kiri atas, Aileen dan anak perempuannya Aryana dan bawah, contoh model McLaren. Gambar kanan, julangan api kebakaran selepas kereta McLaren dipandu Heitmann bertembung dengan SUV mangsa. FOTO San Diego Police Department, Facebook, NBC/San Diego
Agensi

San Diego: Bintang permainan video YouTube dipercayai mahu membunuh diri ketika memandu kereta mewah McLaren melawan arus di sini, semalam, sebelum bertembung dengan SUV menyebabkan dirinya, seorang wanita dan budak perempuan 12 tahun terbunuh.

Polis mengenal pasti lelaki itu sebagai Trevor ‘McSkillet’ Heitmann, 18, yang memandu kereta berharga AS$200,000 (RM818,297) berkenaan selaju 160 kilometer sejam sebelum bertembung dengan SUV Hyundai dinaiki Aileen Pizarro, 43, dan anak perempuannya, Aryana Pizarro.

Menurut laporan Daily Mail yang memetik San Diego Union Tribune, kemalangan itu menyebabkan kebakaran besar.

Menurut portal berita
Mirror, Heitmann yang mempunyai 900,000 pengikut di YouTube, meraih pendapatan ratusan ribu ringgit hasil menjual ‘kulit digital’ aksesori senjata api dan pisau permainan video Counter-Strike: Global Offensive (CS:GO).

Namun, Heitmann diharamkan oleh pasar jualan dalam talian kerana didakwa terbabit dengan laman web perjudian ‘kulit digital’ itu menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan dan mental berikutan kehilangan pendapatan.

Komuniti CS:GO yang terkejut dengan kejadian itu menyatakan Heitmann dianggap ‘raja kulit’.

Menurut laporan Fox 5, lelaki itu masih belajar di sekolah tinggi, Sekolah Jolla Country Day dan Disember lalu, menyiarkan kereta McLaren yang baru dibelinya di saluran YouTube, OG McSkillet.

Aileen yang terbunuh bersama anaknya dalam kejadian itu tinggal di kawasan College dan bekerja sebagai pakar terapi keluarga.

Anak lelakinya, Dominic, 22, berkata, ketika kejadian ibu dan adiknya dalam perjalanan ke Daerah Orange.

Menurut Perondah Lebuhraya California (CHP), Heitmann memandu McLaren masuk ke lebuh raya dari Jalan Caroll Canyon.

Menurut saksi, 30 minit sebelum kejadian, kereta itu dilihat merempuh pintu pagar sebuah sekolah rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 4:45 AM