SUV Jefferson dilarikan ketika perjalanan ke padang latihan. FOTO BUDA MENDES
SUV Jefferson dilarikan ketika perjalanan ke padang latihan. FOTO BUDA MENDES
Bleacherreport.com

PEMAIN antarabangsa Brazil Jefferson mendedahkan keretanya ‘dilarikan’ sekumpulan lelaki mengacukan pistol ketika dalam perjalanan ke tempat latihan.

The Sun melaporkan penjaga gol utama Botafogo berusia 34 tahun itu diserang sewaktu memandu SUV Range Rover dan dipaksa keluar kereta oleh anggota kumpulan terbabit.

Rakaman CCTV menunjukkan pemain terbabit diarah keluar sebelum dipaksa melutut di tepi jalan sambil kedua tangan diangkat ke atas.

Kumpulan itu kemudian dilihat melarikan SUV Jefferson serta merta keluar ke laluan utama.

Jefferson, tampil dalam 22 perlawanan antarabangsa bersama Brazil, menceritakan pengalaman menakutkan itu:

"Saya menjadi salah salah satu lagi mangsa keganasan yang melanda Rio (Brazil).

"Dalam perjalanan ke tempat latihan bersama pasukan Botafogo, saya tiba tiba ditahan sekumpulan lelaki berpistol yang bertindak mencuri kereta dan barangan saya.

"Tuhan memberi ketenangan kepada saya berurusan dengan situasi itu dan berterima kasih kepadanya kerana tidak mengalami sebarang kecederaan."

Polis menemui semula kenderaan milik Jefferson itu beberapa jam selepas kejadian berlaku di Rio de Janeiro, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 4:22 PM