Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Kemalangan jalan raya pada 1997 menyebabkan S Nagarajan, 44, berstatus orang kurang upaya (OKU), namun ibarat jatuh ditimpa tangga apabila dia hilang upaya bekerja apabila diserang angin ahmar pula pada 7 September lalu.

Keadaan itu menyebabkan bekas pengawal keselamatan itu kini berkerusi roda dan tidak lagi mempu menyara isteri dan tiga anak berusia lima hingga 19 tahun.

Isterinya, K Tamil Selvi, 45, berkata kemalangan jalan raya menyebabkan menyebabkan kaki kanan patah dan tangan kanan suaminya mengalami cacat kekal.

"Walaupun OKU, suami tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan dia bekerja sebagai pengawal keselamatan malah bekerja sambilan sebagai penghantar makanan dari sebuah restoran berhampiran sebelum ini.

NAGARAJAN (berkerusi roda) dan keluarganya menerima kunjungan daripada Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry. FOTO Mary Victoria Dass
NAGARAJAN (berkerusi roda) dan keluarganya menerima kunjungan daripada Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry. FOTO Mary Victoria Dass

"Seminggu sebelum diserang strok, suami mendakwa penat kerana turut terbabit dalam kerja sukarelawan dengan menjadi kru program untuk anak yatim namun tidak disangka dia mengalami masalah kesihatan yang serius.

"Sebelum ini dia tidak memiliki rekod penyakit darah tinggi, hanya kencing manis tapi bukan tahap kronik," katanya.

Tamil Selvi berkata, kini keluarganya bergantung kepada pendapatan anak sulung RM2,000 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, anak keduanya berusia 12 tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Jaya manakala anak bongsunya menghidap autism dan perlu dipantau setiap masa.

Katanya, dia berharap keadaan suaminya yang juga penerima bantuan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450 sebulan itu beransur pulih.

"Suami berulang-alik ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi menjalani rawatan fisioterapi setiap minggu.

"Namun kami berdepan dengan masalah kewangan kerana turut menampung kos sewa rumah RM800 sebulan dan persekolahan anak.

"Kami tidak membuat sebarang persiapan sambutan Deepavali pada tahun ini kerana memberi keutamaan kepada proses kesembuhan suami," katanya.

Terdahulu keluarga Tamil Selvi menerima sumbangan bernilai RM1,000 termasuk kerusi roda yang disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam di rumahnya di Jalan Balau 4, Taman Rinting, Masai di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Gabungan NGO Wanita Pasir Gudang, Shahriah Ismail.

Mas Imran berkata, selain menyalurkan sumbangan barangan dapur, pihaknya juga menyampaikan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan Nagarajan.

"Kami difahamkan Nagarajan terpaksa bergerak dengan menggunakan kerusi roda yang dipinjam daripada jiran dan ia juga mengalami kerosakan.

"Diharap Nagarajan sekeluarga tabah menghadapi ujian serta dapat meraikan Deepavali dalam keadaan selesa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 1:53 PM