NUR Hidayah Nur Kaseh mencuba kaki palsu di depan ibu bapanya dan wakil Pasaraya Econsave Cash And Carry.
NUR Hidayah Nur Kaseh mencuba kaki palsu di depan ibu bapanya dan wakil Pasaraya Econsave Cash And Carry.
Mary Victoria Dass


JOHOR BAHRU: “Bukan setahun dua, tetapi sejak usia lima tahun lagi Nur Hidayah Nur Kaseh memang memasang impian untuk berjalan seperti insan normal tetapi kami tak mampu untuk beli kaki palsu,” kata suri rumah, Nafizah Asiken, 48.

Nafizah, meluahkan rasa gembiranya selepas impian anaknya Nur Hidayah Nur Kaseh Baharuddin, 10, memiliki kaki palsu sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

Impian remaja ini menjadi kenyataan hasil bantuan Pasaraya Econsave Cash And Carry dan sukarelawan melancarkan tabung kutipan dana bagi membantu Nur Hidayah Nur Kaseh membeli kaki palsu.

“Selepas dua bulan jumlah diperlukan untuk membeli kaki palsu untuk kegunaan anak sudah cukup dan dia mula menerima alat itu sejak dua hari lalu.

“Tiada apa yang lebih menggembirakan kami apabila melihat gelagat anak yang gigih membiasakan diri menggunakan kaki palsu barunya.

“Pergerakannya masih perlahan, namun saya berasa teruja apabila melihat anak sudah mampu berdiri dengan sendiri. Difahamkan dia perlu mengambil masa hingga dua minggu sebelum mahir dan selesa menggunakan kaki palsu berkenaan,” katanya ketika ditemui di Taman Selesa Jaya, Skudai, di sini, semalam.

Wanita ini berkata, Nur Hidayah Nur Kaseh mengalami kecacatan fizikal sejak lahir iaitu kudung kaki kanan, selain itu tapak kaki dan jari tangan kiri remaja itu juga tidak sempurna.

Berikutan itu katanya, Nur Hidayah Nur Kaseh terpaksa menggunakan tongkat termasuk ketika di sekolah, namun lama-kelamaan remaja itu mula berasa sakit pada lengan hingga membataskan pergerakannya.

Katanya, Nur Hidayah Nur Kaseh, cuba membiasakan diri untuk bergerak menggunakan kerusi roda namun berasa tidak selesa.

Jelasnya pendapatan suami yang mengambil upah membantu rakan berniaga tidak tetap kerap membantutkan perancangan mereka untuk membeli kaki palsu bagi kegunaan Nur Hidayah Nur Kaseh.

“Atas faktor kesihatan, Nur Hidayah Nur Kaseh yang juga antara murid cemerlang di sekolah terpaksa mengambil cuti sakit sejak awal tahun hingga kini.

“Keinginannya untuk kembali bersekolah tidak pernah pudar, namun kami memujuknya agar berehat sementara mencari penyelesaian akan masalah dialami,” katanya.

Sementara itu Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Cash And Carry Wilayah Selatan, Mas Imran Adam, ditemui ketika melawat keluarga itu semalam berkata, pihaknya berjaya mengumpul RM7,960 hasil sumbangan orang ramai.

“Daripada jumlah itu RM3,500 digunakan untuk membeli kaki palsu bagi kegunaan Nur Hidayah Nur Kaseh dan hari ini (semalam) kami tampil untuk menyerahkan bakinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:05 AM