DENDANGAN terbaharu daripada Zizan tampilkan Ismail untuk bahagian korus
DENDANGAN terbaharu daripada Zizan tampilkan Ismail untuk bahagian korus
Oleh Syafil Syazwan Jefri


LAGU baharu berentak R&B hip hop berjudul Berserah kini dilancarkan di YouTube sejak 1 November lalu.

Karya dendangan Zizan Razak sebagai rapper ini menampilkan Ismail Izzani penyanyi untuk bahagian korus.

Dihasilkan oleh Alif selaku komposer, Berserah tak banyak beza dengan lagu ciptaannya yang lain terutama dari segi melodi.

Namun, Alif bijak dalam menggarap identiti muziknya, sekali gus menjadikan lagu ini sebagai karya yang segar dan enak didengar.

Bahagian nyanyian Ismail tidak banyak yang boleh diperkatakan memandangkan dia sendiri memiliki kemampuan nyanyian boleh dipuji.

Lantunan bait rap daripada Zizan juga tidak asing buat pengikut setia pelakon, pelawak dan pengacara ini yang kerap juga muncul dengan single baharu dalam genre sama.

Dari segi jalan cerita, Berserah mengisahkan karakter manusia yang melakukan kesilapan berkali-kali dan tidak lagi mendapat peluang membetulkan kesilapannya.

ISMAIL IZZANI
ISMAIL IZZANI

Namun, dia menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir dan percaya setiap yang berlaku adalah perancangan daripada Tuhan.

Satu perkara yang menarik adalah video muzik Berserah yang sangat cantik, menjadikan Austria sebagai lokasi penggambaran untuk bahagian rap Zizan.

Setakat ini, video muzik Berserah sudah ditonton lebih 164,000 tontonan di YouTube.

Lagu: Berserah

Penyanyi: Zizan Razak feat Ismail Izzani

Komposer: Alif

Lirik: Ariz

Terbitan & edaran: Rocketfuel Entertainment

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 5:20 AM