(Gambar kecil) Muhammad Fahim meninggal dunia dipercayai tertelan rambutan. FOTO Ihsan Pembaca
(Gambar kecil) Muhammad Fahim meninggal dunia dipercayai tertelan rambutan. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli

MURID Tahun Satu meninggal dunia dipercayai tercekik buah rambutan ketika berjalan kaki untuk menemui ibunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok, di Jitra, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang tadi, mangsa, Muhammad Fahim Ilmi Mohd Fairuz, 7, dikatakan baru keluar dari sekolahnya dan berjalan menuju ke sekolah ibunya yang terletak berdekatan.

Bagaimanapun, mangsa dilihat rebah oleh guru yang kebetulan melalui kawasan itu dan berdasarkan maklumat daripada rakan mangsa, dia dipercayai makan buah rambutan ketika berjalan.

Mangsa sebelum itu dikatakan, seperti cuba untuk muntah dan seakan-akan tercekik dan kemudian rebah di tepi jalan dalam keadaan separuh sedar.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata mangsa kemudian dihantar ke sebuah klinik kesihatan di Changlun, namun doktor memaklumkan dia perlu dirujuk ke Hospital Jitra.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita sedang menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 9:08 PM