MOHD Fairuz menunjukkan gambar Muhammad Fahim Ilmi yang meninggal dunia selepas tercekik rambutan di sekolah ibunya, petang semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
MOHD Fairuz menunjukkan gambar Muhammad Fahim Ilmi yang meninggal dunia selepas tercekik rambutan di sekolah ibunya, petang semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


“ARWAH sebelum ini tak berapa suka sangat makan rambutan, tetapi tak sangka hari ni dia makan sehingga meragut nyawanya,” kata Mohd Fairuz Zaiyadi, 37, bapa kepada murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sintok yang meninggal dunia akibat tercekik rambutan, petang semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa, Muhammad Fahim Ilmi, 7, dikatakan mengambil rambutan itu di atas meja guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok, Changlun, sambil menunggu ibunya selesai bertugas.

Mohd Fairuz yang juga ahli kumpulan nasyid Firdaus berkata, dia sedang bekerja di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok sebelum dihubungi isteri memaklumkan kejadian menimpa anak mereka.

“Isteri saya menghantar anak sulung kami itu ke Klinik Kesihatan Changlun dan doktor berusaha menyelamatkan anak saya termasuk memberi bantuan oksigen, namun gagal.

“Ketika itu, keadaan anak kami agak kritikal sebelum disahkan meninggal dunia di situ. Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, Alor Setar, malam tadi.

Mohd Fairuz berkata, walaupun terkejut dengan kejadian menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu, dia dan isterinya, Rosnah Ilias, 36, reda dengan apa yang berlaku.

Katanya, jenazah anaknya akan dikebumikan di Nibong Tebal, Pulau Pinang sejurus bedah siasat selesai dilakukan.

“Tak banyak nampak perubahan pada diri arwah sebelum ini, cuma saya agak terkejut apabila dimaklumkan dia makan rambutan kerana sebelum ni dia tidak suka sangat, cuma kadang- kadang sahaja makan.

“Mungkin ajalnya sudah sampai dan arwah seorang anak yang baik,” katanya yang mempunyai dua lagi anak perempuan.

Mohd Fairuz berkata, Mohd Fahim adalah seorang yang aktif di sekolahnya, malah ketika di tadika, dia aktif dalam kumpulan nasyid.

Berita berkaitan

'Budak 7 tahun maut tercekik rambutan'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 12:26 AM