IBU kepada empat cahaya mata, Asiah Awang, 52, yang terpaksa bekerja sebagai tukang masak di kantin sekolah dan keluar menoreh getah, mengelap badan suaminya, Zakaria Salleh, 64 yang terlantar akibat kanser otak dan hidung sejak Januari lalu di Kampung Bakong. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
IBU kepada empat cahaya mata, Asiah Awang, 52, yang terpaksa bekerja sebagai tukang masak di kantin sekolah dan keluar menoreh getah, mengelap badan suaminya, Zakaria Salleh, 64 yang terlantar akibat kanser otak dan hidung sejak Januari lalu di Kampung Bakong. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Nor Fazlina Abdul Rahim

ISTERI buntu memikirkan kos perlu ditanggung sebanyak RM1,000 sebulan bagi keperluan suaminya yang kini koma akibat kanser otak dan hidung, sejak Januari lalu.

Kesempitan hidup yang dialami menyebabkan Asiah Awang, 52, terpaksa bekerja sebagai tukang masak di kantin sekolah dan keluar menoreh getah bagi membeli keperluan suaminya, Zakaria Salleh, 64.

Seawal 4 pagi, ibu kepada empat cahaya mata itu sudah ke sekolah dan akan pulang ke rumah di Pasir Mas, 8 pagi bagi memberi susu kepada suaminya sebelum keluar semula untuk menoreh getah.

Namun, menerusi dua kerja itu belum mampu untuk menanggung keperluan suaminya kerana pendapatan bulannya RM500 dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya RM150 sebulan.

Asiah berkata, begitulah rutinnya setiap hari demi memastikan suaminya terjaga walaupun doktor yang merawatnya memaklumkan harapan untuk pulih agak sukar

"Setiap hari saya akan memberi lima kali susu kepada suami menggunakan tiub. Dua anak saya sudah bekerja, namun hanya bekerja biasa menyebabkan mereka bantu sekadar yang mampu saja.

"Anak ketiga saya berusia 26 tahun yang tinggal bersama kami tidak bekerja kerana jenis lembam dan hanya mampu membantu saya untuk mengangkat suami setiap kali mahu memberi susu. Manakala anak bongsu masih belajar.

"Saya berharap bantuan JKM dapat dinaikkan memandangkan kos keperluan suami terutama susu agak mahal," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bakong, di sini.

Asiah berkata, ada kalanya mereka sekeluarga terpaksa mengikat perut demi memastikan susu suaminya mencukupi.

"Saya tidak kisah sekiranya makan minum saya tidak mencukupi memandangkan pendapatan yang tidak menentu dan tidak dapat keluar menoreh setiap kali cuaca hujan, namun saya berdoa supaya susu suami saya tidak putus," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam 03027020548049 (Asiah Awang) atau menghubungi di talian 019- 9968177

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 12:19 PM