ASIAH (kiri) bersama ahli keluarga terpaksa berkampung sementara di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok berikutan banjir melanda Ijok sejak 15 November lalu. FOTO ihsan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
ASIAH (kiri) bersama ahli keluarga terpaksa berkampung sementara di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok berikutan banjir melanda Ijok sejak 15 November lalu. FOTO ihsan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Amirul Aiman Hamsuddin


“SEPANJANG lebih 60 tahun saya tinggal di kampung ini, ini boleh dianggap paling teruk kerana air mencecah paras 0.5 meter dan memasuki rumah,” demikian kata warga emas, Asiah Arshad.

Asiah, 67, bersama suami serta cucunya antara 139 mangsa daripada 41 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok, Kuala Selangor, sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, hujan lebat pada 2 petang itu menyebabkan mereka diarahkan berpindah selepas kawasan kediaman dinaiki air.

“Hujan lebat selepas solat Jumaat berterusan hingga petang, kebetulan saya tinggal berseorangan manakala suami dan cucu tiada di rumah kerana keluar ke kampung sebelah.

“Saya hanya mampu menangis dan berserah pada Allah SWT sebaik melihat air mula melimpah masuk ke dalam rumah,” katanya.

Katanya, dia serta penduduk Kampung Batu 28, Ijok yang dipindahkan itu berharap air segera surut bagi membolehkan mereka mengemas rumah masing-masing.

“Risau dengan keselamatan barangan di rumah, mesti ada yang rosak kerana terendam dalam air.

“Setiap kali banjir, mesti ada kerugian, ditambah segalanya berlaku dengan pantas menyebabkan saya dan penduduk kampung tidak dapat membuat persediaan awal menghadapi banjir,” katanya.

Asiah berkata, pihak berwajib diharap dapat menyelenggara sistem perparitan di kampung berkenaan yang dipercayai menjadi punca banjir bagi mengelakkan perkara sama berulang kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 8:55 PM