ANISAH membantu mengurut  ibunya yang sering sakit.
ANISAH membantu mengurut ibunya yang sering sakit.
Sabaruddin Abd Ghani

Baling: Seorang ibu tunggal di Kampung Guar Tinggi, Kuala Ketil, dekat sini, merayu bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagi menampung kehidupannya sekeluarga empat beranak selepas suaminya meninggal pada September lalu akibat asma.

Anisah Abd Hamid, 41, berkata, selepas suaminya, Azman Mohd Yusoff, meninggal dunia, dia mengambil upah menoreh getah untuk menyara dua anak Nuralianatasha, 10, dan Nuraliabalkis, 8, yang bersekolah dan ibunya, Siti Rokiah Sasu, 80, yang uzur.

Katanya, kehidupan mereka semakin terhimpit berikutan pokok getah di tempatnya bekerja ditebang untuk penanaman semula kerana terlalu tua dan tidak lagi mengeluarkan susu getah.

“Kini, saya hanya duduk di rumah sementara menunggu peluang menoreh di kebun getah orang lain. Saya belum bercadang untuk bekerja di kilang kerana tiada orang untuk menghantar anak ke sekolah setiap hari.

“Justeru, saya perlu berjimat untuk membeli barang keperluan harian kerana yang lebih penting ialah perbelanjaan persekolahan anak perlu diutamakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Anisah berkata, ketika hayatnya, suaminya bekerja di sebuah sekolah agama persendirian di kampung itu untuk menyara keluarga.

“Justeru, saya berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menyediakan bantuan bulanan untuk anak saya yang bersekolah itu. Setahu saya, JKM mempunyai skim bantuan tertentu untuk keluarga susah dan miskin seperti saya yang mempunyai anak bersekolah.

Orang ramai boleh menghulurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Anisah, 02126-41-00011883-3 atau hubunginya di talian 011-35150471.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 10:56 AM