KHAIRY Jamaluddin
KHAIRY Jamaluddin
Mohd Anwar Patho Rohman

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menepis dakwaan beliau akan menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh terdekat.

Khairy membuat penafian itu menerusi status dalam akaun twitter yang dirinya bukan saja kekal dalam UMNO malah akan merebut jawatan Presiden UMNO buat kali kedua menerusi pemilihan parti pada 2021.

Dalam akaun twitternya Khairy menulis: ‘Habis tu macam mana nak bertanding Presiden UMNO tahun 2021?’

Status beliau itu sebagai menjawab laporan portal berita yang memetik kenyataan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard kononnya Khairy mempersiapkan tempatnya di dalam PH.

Dalam satu entri Facebook (FB) miliknya kelmarin, Badrul Hisham mendakwa Khairy mula menyiapkan tempat untuk menyertai kerajaan.

“Cekap permainan Khairy Jamaluddin. ‘Provoke’ untuk dipecat sambil siapkan tempat ‘landing’ dalam parti kerajaan,” katanya menerusi entri FB.

Sebelum ini, Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, turut didakwa akan keluar UMNO selepas tewas dalam pemilihan parti bagi merebut jawatan Presiden.

Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu tetap bertegas kekal bersama UMNO dan menyifatkan ketiadaannya dalam barisan kepemimpinan parti membolehkannya bersuara secara bebas mengkritik dasar dan aktiviti parti yang canggung dengan perkembangan politik kini.

Khairy bersama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan dua calon lain tewas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akhir Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 11:14 AM