HASLINA yang kudung kaki kiri selepas dipotong akibat kencing manis serta hidup serba daif bersama suami dan anak-anak. FOTO Balqis Jazimah Zahari
HASLINA yang kudung kaki kiri selepas dipotong akibat kencing manis serta hidup serba daif bersama suami dan anak-anak. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


PERNAH ikat perut selama dua hari akibat tidak mempunyai wang mencukupi. Itu kedaifan hidup dihadapi enam beranak yang tinggal di sebuah rumah di Fasa 2 Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Sri Aman, Menglembu, Ipoh, Perak.

Suri rumah, Haslina Nyusi, 43, tinggal di rumah yang berdindingkan lapisan zink dan papan lapis itu bersama suami serta empat anak yang berusia antara enam hingga 16 tahun.

Lebih meruntun hati, kaki kiri Haslina kudung dan dia terpaksa berkerusi roda.

Haslina berkata, dia bersama suami dan empat anak sebelum ini tinggal di rumah pangsa berdekatan, namun terpaksa berpindah ke rumahnya sekarang selepas kakinya terpaksa dipotong akibat menghidap kencing manis dan sakit buah pinggang setahun lalu.

Katanya, hidupnya selepas itu bertambah susah dan suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori tidak mempunyai pendapatan tetap dan cukup untuk menampung mereka anak-beranak.

“Saya dan anak-anak memang sudah terbiasa susah dan selalu tidak makan sehingga dua hari apabila tidak cukup wang.

“Tetapi nasib baik semua anak-anak memahami kerana nampak sendiri kesusahan mak mereka, mereka tidak pernah merungut,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Haslina berkata, dia yang bekerja sebagai tukang cuci di pejabat sebelum ini juga terpaksa berhenti berikutan masalah kesihatannya itu.

“Setakat ini, kami enam beranak hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 dan faedah pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM475.

“Sebenarnya memang tidak mencukupi kerana semua anak masih bersekolah dan ditambah saya yang sakit begini.

“Anak terpaksa berjalan kaki dua kilometer (km) ke sekolah dan saya pula perlu berulang-alik menaiki Grab untuk membuat rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini,” katanya dalam nada sebak.

Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh terus menghubunginya di talian 017-5892563.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 8:33 PM