Amirul Haswendy Ashari


KUALA LUMPUR: Rumah berkeluasan 56 meter persegi dengan kemudahan dua bilik tidur di Flet PPR Desa Tun Razak, di sini, menjadi tempat berteduh buat keluarga Zaiton Mat Sam, 47, dan suami, Mohamad Yusoff Edwan, 50, bersama 12 anak mereka.

Demi memastikan keselesaan anak-anak, Zaiton sanggup tidur di ruang tamu ketika suaminya keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan setiap malam.

“Suami bekerja setiap hari bermula jam 7 malam sehingga jam 7 pagi keesokannya dan hanya mengambil cuti jika ada kecemasan saja. Apabila dia keluar bekerja, saya tidur di ruang tamu manakala anak-anak tidur dalam bilik.

“Apabila suami pulang keesokan pagi, dia menghantar anak-anak ke sekolah dan tidur untuk persediaan bekerja pada malam nanti. Itulah rutin kami setiap hari,” katanya.

Dek mempunyai anak ramai, keluarga ini sering berdepan masalah keputusan makanan sehingga mereka pernah mencatu makanan selain berhutang dengan jiran tetangga.

Menurut Zaiton, pendapatan suami hanya dalam lingkungan RM1,000 saja manakala dia turut membantu mengurangkan beban keluarga mengambil upah mengurut pada kadar RM200 ke RM300 sebulan.

MOHAMAD Yusoff bersama dua anaknya.
MOHAMAD Yusoff bersama dua anaknya.

Keluarga ini turut mendapat bantuan Baitulmal sebanyak RM350 sebulan yang digunakan untuk membeli barang dapur selain keperluan sekolah anak-anak.

“Anak yang bekerja hanya tiga orang, yang sulung saya minta dia berikan saja duit kepada neneknya untuk belanja dapur kerana ibu saya juga hidup susah.

“Dua lagi anak bekerja sebagai pembantu restoran dan gerai jual air, tapi pendapatan mereka juga tidak tetap dan ada bebanan tersendiri.

“Saya bersyukur rumah yang kami baru duduki ini diberi percuma pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan hanya perlu bayar bil elektrik dan air berjumlah RM70 dan kos penyelenggaraan pula RM45 sebulan,” katanya.

Biar pun pahit ditelan, Zaiton akui pernah dicemuh masyarakat hanya kerana mempunyai anak ramai tetapi hidup miskin.

Antara cemuhan diterima, dia hanya harapkan suami untuk teruskan hidup dan andai tiada suami pasti keluarga mereka tersisih.

“Saya pernah menangis bila anak nak ke sekolah, tiada duit nak dibekalkan ke sekolah, makan di rumah pun setakat ikan bilis goreng dimakan dengan nasi putih dan kicap.

“Anak-anak pula bila nak ke sekolah, nak ada duit. Kalau tiada, mereka tak pergi sekolah. Saya selalu cakap saya memang tiada duit.

ZAITON pernah mencatu makanan dan berhutang dengan jiran.
ZAITON pernah mencatu makanan dan berhutang dengan jiran.

“Saya selalu tegur mereka nak pergi makan ke nak belajar tapi bila mereka cakap takkan hanya melihat rakan-rakan lain makan saja dari pagi hingga ke petang? Jadi, nak tak nak saya terpaksa sediakan juga duit sekolah,” katanya.

Bagaimana pun, selepas dipujuk ada juga hari mereka tetap pergi ke sekolah sambil berlapar sepanjang hari.

Disebabkan kesempitan hidup, ada antara anak-anak Zaiton mengambil keputusan untuk berhenti sekolah.

Walaupun bertegas agar mereka tetap meneruskan persekolahan, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka melihat sendiri kepayahan ibu bapa mereka mencari duit untuk mereka.

Kepada pembaca yang ingin menyumbang bagi meringankan keluarga ini, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 1410329000036245 (Zaiton Matsam).

BILIK yang sempit terpaksa dikongsi antara adik-beradik.
BILIK yang sempit terpaksa dikongsi antara adik-beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 10:00 AM