BLACK HANIFAH
BLACK HANIFAH
Sudirman Mohd Tahir


“NAK kecam, kecam saya saja. Jangan babitkan anak, isteri dan keluarga saya,” kata penyanyi popular, Black Hanifah mengenai kecaman diterima di laman sosial susulan kenyataan dibuat berhubung bantuan khusus kepada penggiat seni yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Black, 33, atau nama sebenarnya Mohd Hanifah Md Hanafiah berkata, adalah tidak adil keluarganya menjadi mangsa serangan netizen hingga mendoakan anak dan isterinya terkena wabak Covid-19.

Malah, Black berkata, dia tidak akan mengambil tindakan kepada mereka yang menghina, mendoa dan melemparkan kata-kata kesat terhadap diri dan keluarganya.

“Kena fikir anda pun ada keluarga juga. Ada mak dan ayah. Saya risau doa itu berbalik pada mereka yang cakap perkara itu. Itu yang saya sangat risau.

ANTARA komen netizen di Instagram Black Hanifah.
ANTARA komen netizen di Instagram Black Hanifah.

“Sebab kalau orang mendoakan keburukan kita, tapi kita dapat kebaikan daripada Allah. Cuba anda fikir nak komen itu ada kena mengena tak dengan apa yang saya cakap. Tak ada kena mengena kan? Jadi, jangan sampai babitkan keluarga saya

“Saya tidak akan ambil tindakan susulan sama ada nak saman atau sebagainya. Itu tak perlu. Sebab saya faham semua berada dalam keadaan tertekan. Cuma pesan saya, nak komen bialah berlapik sikit,” katanya kepada Harian Metro.

Black yang muncul secara langung di Instagram @myhmrap menerusi program #dirumahjer menjelaskan, kenyataan dimuat naik sebelum ini disalah ertikan.

“Orang tak baca isi kandungan cerita itu, tapi baca tajuk saja. Bukan saya yang minta duit itu, tapi untuk yang memerlukan. Bukannya orang macam saya, tapi yang terbabit di belakang tabir.

“Mungkin silap saya juga sebab tidak cakap siapa golongan itu dan secara terperinci. Saya minta maaf. Jadi, rakyat Malaysia tolong jangan kecam anak dan isteri saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 3:59 PM