MUSA menafikan melakukan ugutan jenayah seperti disiarkan portal berita Harian Metro, Khamis lalu.
MUSA menafikan melakukan ugutan jenayah seperti disiarkan portal berita Harian Metro, Khamis lalu.
Fardy Bungga


PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman dipercayai masih berada dalam negara.

Ini berdasarkan semakan NSTP dengan sumber Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang mendapati tiada pergerakan beliau keluar dari negara ini.

Difahamkan, JIM turut memantau pergerakan beliau susulan arahan daripada pihak berkuasa.

Berdasarkan rekod sebelum ini, Musa dikesan berlepas ke Kuala Lumpur dengan penerbangan Malindo Air, pada 9 pagi pada 14 Mei lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Beliau dikatakan hadir pada mesyuarat UMNO yang dipengerusikan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan pihaknya masih belum dapat mengambil keterangan daripada bekas ketua menteri Sabah itu.

“Tan Sri Musa belum tampil untuk memberi keterangan, apa yang kita tahu beliau tiada di Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peguam Musa, Zahir Shah yang dihubungi NSTP enggan mengulas lanjut.

Sebuah portal berita, hari ini melaporkan Musa dipercayai berada di luar negara iaitu ke Brunei sebelum berlepas ke London.

Sebelum ini, polis Sabah menggesa Musa tampil untuk diambil keterangan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, baru-baru bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Setakat ini, polis sudah merakamkan percakapan sembilan individu termasuk Juhar, sejurus beliau membuat laporan polis pada 14 Mei lalu.

Rabu lalu (23 Mei), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di rumah Musa di Luyang, Kota Kinabalu, namun tidak dapat memasuki kediaman itu kerana beliau tiada di rumah.

Ia dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi usaha membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berita berkaitan

'SPRM hadir ke rumah Musa Aman'

'Musa Aman nafi tuduhan ugutan jenayah'

'Polis Sabah minta Musa tampil'

'Tun Juhar buat laporan polis'

'Musa saman TYT, Mohd Shafie'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 11:48 AM