BEKAS Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan. Gambar kecil, Cha Kee Chin. FOTO NSTP
BEKAS Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan. Gambar kecil, Cha Kee Chin. FOTO NSTP
Khairul Najib Asarulah Khan


“PAKATAN Harapan (PH) jangan sia-siakan pengorbanan kami yang memberi anda peluang untuk mentadbir negeri ini," demikian satu daripada status yang dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook.

Status pemilik lain memetik "Berat sungguh kami mengorbankan tampuk kepimpinan di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar kesayangan kami demi masa depan negara yang lebih baik."

Itu adalah antara status tular di media sosial mahukan PH tidak mengecewakan penduduk di negeri ini yang sebelum ini selesa dengan pentadbiran Mohamad yang popular dengan panggilan Tok Mat itu.

Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, dia mengakui kebangkitan pengundi untuk menyokong PH disebabkan faktor pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) pusat.

"Sememangnya terdapat beberapa isu negeri, namun ia tidaklah sebesar isu BN pusat yang membuatkan rakyat terasa terbeban terutamanya yang membabitkan isu kos sara hidup.

"Bagaimanapun, berilah kepercayaan dan peluang kepada pentadbiran baharu di negeri ini. Kita yakin tokoh yang terpilih sebagai Menteri Besar akan melaksanakan tugas serta amanah yang diberikan rakyat dengan telus dan sebaik mungkin," katanya.

Menurutnya, sebaik mentadbir negeri dan negara, PH akan fokus terhadap manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang mereka tawarkan kepada pengundi.

"Segala janji yang diberi akan ditunaikan dan rakyat dapat menilainya sendiri sebelum menentukan pucuk kepimpinan pada PRU akan datang.

"Berilah kami jalankan kerja terlebih dahulu dan nilailah sendiri nanti," katanya.

Keputusan PRU-14 Negeri Sembilan menyaksikan BN hanya memenangi 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi sebanyak 20 kerusi DUN sekali gus melayakkan mereka membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 4:20 PM