Shahanim (kiri) dan Norma.
Shahanim (kiri) dan Norma.
Omar Osman dan Noorazura Abdul Rahman

SENATOR Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, 45, yang muncul sebagai calon tunggal wanita Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Kedah, berikrar untuk melakukan yang terbaik bagi merampas kembali kerusi Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani itu yang mengakui masih terkejut dengan pencalonannya berkata, akan berusaha sebaik mungkin untuk membalas kembali kepercayaan pucuk pimpinan parti dengan memenangi semula kerusi tersebut dari PKR.

“Saya terkejut dan tidak menyangka menjadi satu-satunya calon wanita dari BN yang dicalonkan bertanding kerusi Parlimen di Kedah.

“Saya akan berusaha keras untuk memikul amanah yang diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib (Razak) dengan untuk merampas kembali kerusi Parlimen Sungai Petani yang dimenangi pembangkang pada dua pilihan raya lalu,” katanya selepas majlis pengumuman calon BN di Seri Mentaloon, Alor Setar hari ini.

Senarai 51 calon BN Kedah diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menurut Shahanim, pemilihannya adalah satu cabaran yang besar apatah lagi Sungai Petani mempunyai jumlah pengundi paling ramai di Kedah iaitu lebih 112,000 pengundi.

“Selama dua penggal Sungai Petani di bawah pembangkang, Parlimen ini jauh ketinggalan, ada kalanya saya begitu cemburu dengan kawasan Parlimen yang dimenangi oleh BN kerana mereka mendapat pelbagai kemudahan dari kerajaan.

”Justeru itu saya mohon kepada semua pengundi Sungai Petani berilah peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat yang mahu berbakti kepada masyarakat pelbagai kaum di kawasan itu,” katanya.

Shahanim adalah bekas Ketua Puteri UMNO Kedah dan Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia sebelum dilantik sebagai Senator Dewan Negara pada April 2014 dan dilantik semula sebagai Senator untuk penggal baru pada November tahun lalu.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai bank dan pernah merangkul anugerah “Best Financial Executive for Maybank Finance in Malaysia” pada tahun 2001 sebelum melepaskan jawatan untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan.

Shahanim akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru dengan calon PAS Shahril Long dan penyandang kerusi parlimen itu, Datuk Johari Abdul yang dijangka dikekalkan sebagai calon PKR.

Sementara itu, calon muka baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Datuk Norma Awang, 59, berterima kasih kepada pucuk pimpinan BN yang memberi kepercayaan kepadanya.

Norma berkata pencalonannya adalah sesuatu yang bersejarah kerana menjadi satu-satunya calon wanita BN yang pernah dicalonkan di kerusi berkenaan.

“Saya terharu atas kepercayaan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kerana memilih saya, biarpun kawasan N20 adalah kubu kuat PAS, namun saya sudah lama bersedia mendekati masyarakat di kawasan Sungai Limau seiring dengan tugas saya sebagai Penyelaras DUN itu.

“Ketua UMNO Bahagian Jerai, Datuk Seri Jamil Khir telah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan ia sedikit sebanyak melonjakkan keyakinan saya untuk bertanding.

“Saya juga akan menggunakan pengalaman saya selama 40 tahun dalam politik untuk memenangi hati masyarakat dengan mendengar keluh kesah mereka serta sedaya upaya menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya yang juga menggalas jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai.

Bekas guru KEMAS itu berkata bagi mendekati pengundi kelabu, beliau telah mengambil pendekatan untuk menyelami perasaan dan maklum balas daripada mereka.

Katanya beliau sentiasa bersifat terbuka dan memperbaiki kelemahan yang ada bagi memastikan Sungai Limau dapat ditawan BN.

“Sebelum ini, saya menyerahkan bantuan termasuklah Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) kepada penduduk yang memerlukan tanpa mengira mereka dari parti mana, pendekatan seperti ini secara tidak langsung mendekatkan saya kepada pengundi selain mereka dapat mengenali saya dengan lebih dekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 6:15 PM