Ahmad Shabery (dua kiri) berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional N30 Kijal di Teluk Kalong hari ini. Turut hadir Ahmad (kiri). FOTO BERNAMA
Ahmad Shabery (dua kiri) berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional N30 Kijal di Teluk Kalong hari ini. Turut hadir Ahmad (kiri). FOTO BERNAMA
Rosli Ilham

AHLI Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan sokongannya secara terbuka supaya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said disenaraikan untuk bertanding bagi mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Sumber Asas Tani berkata, jasa dan pengorbanan Ahmad kepada Terengganu sangat banyak dan langkah meletakkan ADUN Kijal itu sebagai calon boleh membuka peluang besar untuk Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi itu.

“Saya tak rela melihat kerusi Parlimen Kemaman dan DUN Kijal jatuh ke tangan pembangkang.

“Justeru, saya amat berharap Datuk Seri Ahmad Said terus dikekalkan untuk mempertahankan kerusi DUN Kijal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya BN DUN Kijal di Pantai Teluk Kalong, dekat Kemaman, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, tidak ada sebab untuk rakyat Kemaman tidak menyokong BN.

“Dengan kerja keras pemimpin BN di daerah ini, kita dapat saksikan projek Hospital Kemaman yang kerja tanah sedang rancak dilaksanakan dan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah yang baru selain rumah kepada kakitangan awam.

“Semua kita buat untuk kebajikan rakyat dan saya berharap rakyat Kemaman terus memberi sokongan kepada BN untuk mentadbir,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada akan mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman atau sebaliknya, beliau berkata, keputusan itu diserahkan 100 peratus kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya tak tahu dan tak pernah ambil tahu. Pucuk pimpinan parti lebih arif untuk membuat keputusan terbaik bukan sahaja untuk kebaikan parti malah negara.

“Sama ada tersenarai atau tidak bukan masalah dan saya reda dengan apa saja keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 11:11 PM