ULAR sawa yang menelan anak lembu di Kampung Lela, Kuala Pegang, Baling. FOTO Ihsan APM
ULAR sawa yang menelan anak lembu di Kampung Lela, Kuala Pegang, Baling. FOTO Ihsan APM
Safuri Kamarudin


KEHILANGAN haiwan peliharaan penduduk sejak kebelakangan ini terjawab apabila seekor ular sawa batik ditangkap di Kampung Lela, Kuala Pegang, Baling, hari ini.

Ular sawa batik yang kekenyangan selepas menelan anak lembu tidak mampu bergerak di dalam parit belakang rumah seorang penduduk.

Dalam kejadian itu, seorang penduduk Aliasyaq Ismail, 61, tendengar bunyi bising lembu peliharaannya di belakang rumah jam 6.30 pagi selepas pulang dari menunaikan solat Subuh di surau.

Menurutnya, dia terdengar bunyi ‘jeritan’ seekor anak lembu di belakang rumahnya dan bergegas ke kawasan itu, namun terkejut melihat ular sawa sedang menelan anak lembu di dalam parit kira-kira 20 meter dengan rumahnya.

“Anak lembu jantan berusia dua minggu itu dijaga dengan baik dan tidak menyangka menjadi makanan ular sawa berkenaan.

“Sebelum ini, kambing milik penduduk juga menjadi mangsa reptilia itu yang keluar mencari makanan sehingga ke kawasan rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ANGGOTA APM menunjukkan ular sawa batik yang ditangkap selepas menelan  anak lembu. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM menunjukkan ular sawa batik yang ditangkap selepas menelan anak lembu. FOTO Ihsan APM

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.50 pagi dan sampai di lokasi 20 minit kemudian.

Menurutnya, empat anggota bergegas ke lokasi dan mendapati seekor ular sawa batik panjang enam meter dan berat 50 kilogram (kg) kekenyangan selepas menelan seekor anak lembu.

“Ular itu kekenyangan dan tidak mampu bergerak ke dalam hutan yang berdekatan lalu pengadu menghubungi APM untuk bantuan kecemasan.

“Anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular sawa batik dan akan menyerahkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN ) Baling.

“Saya menasihatkan orang awam berhati-hati dan sekiranya ada kes kecemasan diminta menghubungi APM di talian 04-4701626 atau talian kecemasan 999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 12:59 PM