ANGGOTA JPAM Kuala Terengganu membantu memindahkan penduduk.
ANGGOTA JPAM Kuala Terengganu membantu memindahkan penduduk.

Kuala Terengganu: Penduduk di kawasan berhampiran paya dan terjejas akibat banjir diminta berwaspada terhadap ancaman ular berbisa yang dibimbangi menyelinap masuk ke dalam rumah mereka.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, penduduk yang melihat kelibat atau terdengar dengusan ular perlu keluar daripada kediaman dan menghubungi JPAM.

“Kami tidak menolak kemungkinan ular berbisa termasuk tedung selar dan senduk akan cuba mencari kawasan kering apabila habitat asalnya ditenggelami air.

“Berdasarkan rekod terdahulu, kejadian ular menyelinap masuk ke kediaman penduduk meningkat pada musim banjir,” katanya.

Beliau berkata, rumah yang ditenggelami air perlu diperiksa dengan lebih teliti terutama di tempat yang tersorok seperti di bawah almari atau di atas siling.

“Kami bimbang haiwan berbisa seperti ular atau kala jengking menyelinap masuk dalam rumah dan bersembunyi di kawasan terlindung daripada pandangan.

“Sebaiknya penduduk mengambil langkah berjaga-jaga ketika membersihkan rumah dan jangan mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak haiwan berbisa sebaliknya menghubungi JPAM,” katanya.

Orang ramai yang menghadapi kesulitan dan kes kecemasan ketika musim banjir boleh menghubungi JPAM di setiap daerah di talian 09-6672991 (Kuala Terengganu), 09-8595233 (Kemaman), 09-6181008 (Marang), 09-6903991 (Besut), 09-8422030 (Dungun), 09-6812991 (Hulu Terengganu), 09-6921663 (Setiu).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 6:59 AM