Fendi  menunjukkan ular sawa sepanjang empat meter yang berjaya ditangkap ketika sedang membaham ayamnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Fendi menunjukkan ular sawa sepanjang empat meter yang berjaya ditangkap ketika sedang membaham ayamnya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“ULAR sawa ini yang keenam ditangkap di kawasan rumah saya sejak 2017,” kata Fendi Omar, 42, dari Kampung Titian Hangus, di Kuala Terengganu.

Beliau bimbang kerana ular sering ditemui di kawasan rumahnya dan reptilia itu membaham ayam peliharaannya, selain pernah memasuki bonet kenderaan.

Beliau berkata, reptilia keenam sepanjang empat meter yang ditemui di kawasan rumahnya itu semalam, ditangkap sendiri olehnya menggunakan penjerut kira-kira jam 11.45 malam, ketika sedang asyik menelan seekor ayam di dalam reban.

Katanya, dengan menggunakan penjerut ular sawa itu berjaya ditangkap dalam masa lima minit walaupun haiwan itu agresif dan cuba menyerangnya.

“Biarpun ular sawa ini tidak mempunyai bisa seperti ular tedung selar atau senduk, saya tetap mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Ular ini memang tidak mematuk dan mempunyai bisa, tetapi ular sawa boleh menggigit dan mampu membelit mangsanya sehingga boleh membawa kepada kematian.

“Saya bernasib baik kerana cepat menjerut kepala ular itu. Jika tidak, ia pasti berjaya lolos kerana ia terlalu agresif dan pergerakannya sukar untuk dijangka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Fendi berkata, sejak hutan di kawasan rumahnya diteroka untuk projek pembangunan dan jalan raya, kehadiran ular sawa semakin kerap dan mengancam keselamatan keluarga dan ternakan.

“Ular sawa terlalu kerap menyelinap masuk ke dalam reban untuk membaham ayam membuatkan saya sudah maklum mengenai petanda kehadiran reptilia itu.

“Biasanya ayam yang ketakutan akan berkokok tanpa henti dan saya juga sentiasa bersedia dengan penjerut, lampu suluh dan peralatan lain untuk menangkap haiwan pemangsa ini.

“Setiap hari saya bimbang keselamatan keluarga terutama anak kecil sekiranya tidak sedar kehadiran ular di kawasan rumah. Mujur setakat ini tidak ada lagi kejadian tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 6:32 PM