Anggota JBPM Kuala Terengganu menunjukkan ular tedung selar yang memasuki rumah penduduk di Kampung Pulau Manis, Serada. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Anggota JBPM Kuala Terengganu menunjukkan ular tedung selar yang memasuki rumah penduduk di Kampung Pulau Manis, Serada. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


BUNYI periuk jatuh di dapur menyelamatkan seorang wanita daripada diserang seekor ular tedung selar di Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu, malam tadi.

Kehadiran reptilia berbisa sepanjang empat meter itu disedari Zaleha Che Isa, 55, kira-kira jam 9 malam ketika cuba menyimpan periuk yang terjatuh daripada almari dapur.

Zaleha berkata, dia pelik apabila periuk yang berada di atas almari tiba-tiba terjatuh sebelum ke dapur untuk menyusun semula.

“Ketika mengangkat periuk, tong sampah kecil pula terjatuh sebelum saya ternampak seekor ular tedung selar.

“Saya terus meminta pertolongan anak saudara, Zamri Malek, 40, untuk mengesahkannya sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menangkap reptilia ini.

“JBPM yang tiba di rumah kira-kira 15 minit kemudian mengambil masa 20 minit untuk menangkap ular berkenaan,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Muhammad Amir Zubaidi Zakaria, 21, bersyukur kerana kehadiran ular berbisa itu disedari lebih awal.

“Penduduk sekitar memang sedia maklum kehadiran reptilia itu di kawasan rumah kerana kerap kali dilihat melintas jalan berdekatan.

“Bagaimanapun, kami tidak mengendahkannya kerana haiwan ini tidak pernah mengancam sebaliknya hanya merayau di kawasan hutan berhampiran.

“Saya yakin ular tedung selar ditangkap ini adalah ular sama yang sering dilihat penduduk,” katanya.

Menurutnya, kejayaan menangkap ular berbisa ini memberi kelegaan kepada mereka sekeluarga dan penduduk setempat.

“Biar pun ular ini sering dilihat di kawasan rumah dan tidak mengganggu orang tetapi kehadirannya sentiasa membimbangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 1:48 PM