Yusmizal Dolah Aling

Pelbagai isu membabitkan keselamatan sempadan negara bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh, apatah lagi di situlah simbol kedaulatan selain tumpuan penduduk kedua-dua negara bersempadan untuk menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

Penyeludupan pelbagai barangan tidak kira musim seperti makanan, mercun serta keperluan harian bagaikan tiada kesudahan biarpun segala usaha penambahbaikan sudah diambil termasuk memperkasakan agensi sedia ada yang menjaga pintu masuk Malaysia.

Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) antara yang diberi tanggungjawab besar untuk menyelaras apa juga peranan membabitkan kawalan keselamatan di sempadan dan bekerjasama dengan lebih 16 agensi kerajaan lain demi memastikan ia dijaga sebaiknya.

Bukan duduk suka-suka di pos kawalan, Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Ismail mempunyai jawapan kepada persoalan dibangkitkan orang ramai mengenai peranan anak buahnya mengekang sebarang anasir yang dikhuatiri menggugat keselamatan di sempadan.

Dengan prinsip amalan muafakat akan membawa manfaat bersama, Mohammad berkongsi dengan wartawan YUSMIZAL DOLAH ALING dan jurugambar LUQMAN HAKIM ZUBIR di pejabatnya di Putrajaya untuk Kafe Ahad minggu ini.

MOHAMAD Ismail. FOTO Luqman Hakim Zubir
MOHAMAD Ismail. FOTO Luqman Hakim Zubir

Boleh Datuk kongsi peranan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM)?

AKSEM adalah kata ringkas daripada Agensi Kawalan Sempadan Malaysia. Penubuhan AKSEM adalah hasil cetusan idea Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ia bermula daripada peristiwa kubur besar di Wang Kelian yang mana pada pendapat beliau perlu ada satu agensi untuk buat pemantauan khususnya di sempadan.

Hasil daripada itulah maka AKSEM ditubuhkan dan diisytiharkan di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 24 Mei 2016. Saya diumumkan sebagai Ketua Pengarah AKSEM secara pentadbiran. Daripada situlah, kita mulakan AKSEM di mana Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang ada di sempadan antara Malaysia dan Thailand diperkasakan untuk dijadikan AKSEM.

Anggota UPP yang diperkasakan di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Dengan kekuatan ini kita dapat laksanakan tugas-tugas kita di sempadan yang mana kita ada pasukan khas yang akan bertindak untuk membantu agensi lain dalam membuat tangkapan atau rampasan bagi jenayah rentas sempadan.

Sepanjang AKSEM ditubuhkan, sejauh mana cabaran yang dihadapi untuk memastikan sempadan negara selamat dan terkawal?

Dari segi cabaran yang saya dapati tidaklah begitu berat dan besar sebab kita ada agensi yang turut bertugas di sempadan. Kalau kita tengok di dalam Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (ICQ) itu sendiri, kita ada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kita ada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kita ada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kita ada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kita ada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan sebagainya. Banyak. Kita ada polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), jadi banyak.

Manakala di sempadan sebenar daripada Bukit Batu Putih, Perlis sampailah ke Bukit Kayu Hitam, kita ada PGA daripada Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dari Bukit Kayu Hitam sampailah ke Pengkalan Kubur, Kelantan kita ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan tugas-tugas mengawal keselamatan.

Jadi bagi AKSEM, penubuhan AKSEM kalau mengikut Akta 799 dan juga Akta AKSEM 2017, ia lebih kepada menyelaras agensi yang ada di sempadan sebagai mana hasrat Timbalan Perdana Menteri.

Kemudian kita membuat pemantauan dan jika dapatan itu boleh menyumbangkan kebaikan kepada negara, kita akan angkat kepada satu jawatankuasa penyelaras yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri yang termaktub dalam akta AKSEM itu sendiri.

Daripada itu, sekiranya perlu diangkat kepada satu lagi jawatankuasa peringkat tertinggi, jadi kita akan bawa dapatan itu kepada jawatankuasa yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri. Jadi dari situlah tindakan seterusnya akan diambil di peringkat kabinet untuk penambahbaikan dan apa juga yang lain di sempadan.

AKSEM terdiri daripada beberapa komponen dan apakah itu tidak berlaku pertindihan tugas?

Bila anda sebut tentang pertindihan kuasa, kawasan operasi dan sebagainya, itu yang dalam pendekatan saya dengan agensi lain, selalu saya nyatakan bahawa tidak akan berlaku sebarang pertindihan kuasa oleh AKSEM dengan mana-mana agensi yang ada di sempadan.

Kerana kita lebih kepada konsep kita adalah untuk menyelaras sesuatu perkara kalau ada masalah.

Kemudian kita memantau dan kita tengok apa masalah dihadapi oleh agensi yang boleh ditambah baik. Jadi di sini saya rasa tidak ada satu perkara untuk berlaku pertindihan kuasa contohnya kalau dalam ICQ itu sendiri, masing-masing main peranan masing-masing.

Contohnya JIM, peranan dia untuk orang keluar masuk. JPJ, peranan dia untuk kenderaan keluar masuk, JKDM peranan dia untuk barang-barang yang masuk atau pun keluar di sana. Jadi kita ada peranan kita masing-masing. MAQIS pun sama.

Jadi di sini AKSEM bersama-sama sekiranya ada masalah di sana, kita akan cuba atasi, kita akan duduk, bincang dan kita akan cuba selesaikan masalah itu mengikut seperti mana yang saya katakan tadi.

Tidak berlaku pertindihan kuasa di situ, bukan AKSEM nak pergi rampas, oh, sekarang ini aku nak ambil kerja JIM nak cop pasport.

Tak ada kuasa yang diberikan kepada saya atau AKSEM. Begitu juga di kawasan sempadan itu sendiri yang saya nyatakan daripada Bukit Kayu Hitam sampailah Bukit Batu Putih di Perlis dan dari Bukit Kayu Hitam sampailah Pengkalan Kubor, tidak ada. Saya tidak masuk melakukan operasi, saya akan bersama dengan mereka kalau mereka lakukan operasi juga.

Kalau ada operasi, rakan-rakan agensi lain beritahu kita, kita akan selaraskan siapakah yang mereka perlukan, agensi mana yang diperlukan. Kalau JIM, kita akan berhubung dengan JIM. Begitu juga dengan PGA. Jadi tidak berlaku pertindihan kuasa di situ.

Tapi kamu perlu ingat juga, bila kita ada di situ kita jangan lupa kita ada ketua polis negeri, keselamatan di bawah dia. Keselamatan sesebuah negeri adalah di bawah dia. Jadi saya di sana, saya perlu bersama dia membantu dia walaupun persoalan kita adalah di sempadan, tapi dia banyak lagi masalah lain yang dia kena tengok, jenayah lain.

Jadi saya di sana dan agensi yang ada itu, kita membantu dia supaya keadaan sempadan kita itu lebih terkawal.

Tak ada pertindihan kuasa, dengan agensi, dengan Ketua Polis Negeri tak ada, dengan Ketua Polis Daerah pun tak ada sebab agensi itu semua ada pengarah atau ketua negeri dia. Kita buat bersama, itu AKSEM punya matlamat.

Bukan AKSEM akan pergi merampas, mengambil tindakan atau kuasa orang lain. Sebab Timbalan Perdana Menteri dalam mesyuarat, ada menyatakan bahawa mana-mana juga agensi yang rasa ada kaitan dengan permasalahan sempadan sila masuk dan laksanakan tugas yang mana AKSEM boleh selaraskan perkara itu.

Jadi saya rasa jelas di situ bukan kita nak rampas mana-mana kuasa. Rakyat yang ada di sempadan, mereka perlu faham juga AKSEM ada di sana bersama agensi-agensi untuk membantu rakyat yang bermasalah di sempadan, boleh jumpa, bincang dengan kita apa masalah dan kita boleh selesaikan mengikut prosedur yang adalah.

Saya minta sangat rakyat atau penduduk jadi mata dan telinga kepada kita sebab kita buat masalah pembolosan di sempadan.

Takkan rakyat nak berdiam diri apabila berlakunya pembolosan pendatang asing tanpa izin daripada negara lain. Jadi ini kita kena tengoklah sebagai contoh bila kita buat operasi di Kelantan, kita dapat tangkapan melalui bas, kereta api, lebih daripada 200 orang yang kita sudah tangkap.

Itu hasil maklumat orang awam juga sebab sebelum kita buat operasi itu kita pergi ke sesuatu daerah contohnya di kawasan Gua Musang, kita berhubung dengan orang ramai, kita duduk dekat masjid bersama orang kampung, kita ceritakan apa yang kita buat, matlamat dan orang kampung bagi kerjasama yang baik dan kita berjaya rampas bunga api, mercun, makanan beku dan sebagainya. Itu untuk operasi dalam masa seminggu.

Datuk sebut ada pelbagai operasi, tetapi masyarakat berpandangan AKSEM hanya duduk saja.

Dalam AKSEM ini, banyak tugasan yang kita buat. Salah satunya adalah sekatan jalan raya dan kita ada unit rondaan, pasukan khas yang bertindak bila mendapat maklumat. Kemudian kita juga harus ingat, macam kamu kata, tengok orang, terus bagi jalan, kamu kena faham, orang itu macam mana. Takkan kita hendak periksa semua kenderaan. Pertama sekali yang nak masuk ke utara, jalanlah. Orang tempatan, jalanlah.

Tapi perhatian akan diberi kepada orang yang balik, orang dari negara jiran kita, itu kita akan bagi perhatian, kenderaan suspek dan sebagainya di mana kita berjaya buat tangkapan sebanyak 40 kilogram ganja hasil daripada laluan kenderaan yang disimpan di dalam kenderaan. Itu pun kita tak tengok, hasil kebijaksanaan budak (anggota) kita.

Tengok pemandu itu resah, suspek, tarik ke tepi, periksa dan tengok ada dadah.

Begitu juga tugasan yang lain. Macam bisnes, bawa masuk barang kosmetik yang tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan. Jadi kita akan ambil tindakan barang-barang yang keluar dari negara jiran, tapi nak masuk ke sana, kita lepaskanlah. Di ICQ pula kena tahan, jadi ikut proseslah. Kalau nak masuk dia kena tahan yang pertama JIM, kemudian kenderaan, JPJ ada di sana.

Maksudnya bukan saja-saja duduk seperti mana dakwaan orang ramai?

Kalau duduk saja, saya suruh tutup saja. Bagaimana kamu pakai uniform di situ, tetapi nak duduk saja, apa maksud duduk saja di situ. Sebab apa, dia masuk bekerja bertugas berapa jam dekat situ, dia kena fokus dan susun anggota.

Sama ada bahagian hadapan untuk buat pemerhatian, pemeriksaan bahagian tengah, bahagian belakang ada lagi, jadi kita memang ada susun cara atau prosedur di situ, masing-masing dengan peranan masing-masing.

Kalau kamu tengok, ada dua di tengah, dua di depan dan belakang, setiap sisi ada empat orang dan masing-masing ada peranan, buat kerja. Saya tak pastilah kalau ada yang duduk bersenang lenang di situ sebab saya pernah menyamar, lalu di situ dan ada yang tak kenal saya. Memang mereka periksa dan tanya, encik nak ke mana. OK jalan.

Boleh Datuk kongsi apakah barangan yang paling kerap dibawa masuk?

Tengok musim juga. Kalau harian, tentulah sayur, makanan. Itu harian. Kalau bermusim, tentulah mercun yang kita fokus.

Tahun Baru Cina, minuman keras dan mercun, beras tapi beras ini tak kira musim perayaan mana.

Dalam mesyuarat saya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, saya diberitahu ada 200 tan metrik di pasaran yang tidak tahu daripada mana.

Tetapi AKSEM berjaya rampas sejumlah besar ketika itu. Ini berlaku tak kira masa. Ini sindiket, sudah pasti dia akan perhatikan kita, kalau kita leka dia akan terlepaslah.

Tak tentu, kadang-kadang binatang eksotik. Kura-kura yang kecil yang mahal itu pun dibawa masuk. Kadang-kadang cengkerang tenggiling, mahal cengkerang itu, kulit pun mahal. Kerang, kita bawa ke seberang. Jadi benda-benda ini tak tentulah. Apa juga yang melintas di depan kita, kalau salah kita akan tangkap.

Tempoh hari heboh pasal minyak subsidi. Bagaimana kita nak tangkap kerana kita masih di Malaysia, belum pergi ke negara jiran lagi.

Tak ada kesalahan berlaku, kecuali ada bukti memang dia nak bawa ke seberang dan juga barangan itu ada subsidi. Katakanlah seorang nama Mat, beli makanan di seberang, lalu dan kita nak rampas, tak adillah begitu. Jadi ini juga kita bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kita bersama dan kita bantu.

Kalau kita tangkap, kita rujuk kepada mereka. Kalau mereka tangkap, perlu bantuan kita bantu.

Nampak kerjasama yang begitu erat antara banyak agensi. Bagaimana AKSEM menyelaras semuanya supaya harmoni sebagai satu pasukan besar?

Saya nampak kita tak ada masalah untuk menjaga, mengawal keselamatan sempadan ini. Sebab agensi ini berbagai-bagai yang ada di Malaysia. Contohnya dalam keselamatan, kita ada PDRM, di situ kita ada banyak, PGA, Unit Tindakan Khas pasukan VAT 69, Cawangan Khas, Cawangan Jenayah, memang banyak.

Kita ada JKDM, JIM, masing-masing ada pasukan bertindak sendiri. Di sinilah yang saya lihat bahawa kita kena bersama dan bersepadu menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Dalam operasi, contohnya sekarang dalam masalah rokok seludup, mengapa tidak kita NBOS dengan KPDNKK, JKDM, KKM dan AKSEM, kita pergi bersama, buat kerja.

Kalau sindiket, kita kena buat secara sindiket, bukan boleh begitu saja. Kalau kita bersama, bila satu matlamat untuk jaga keselamatan saya rasa ia tidak jadi satu cabaran kepada kita. Macam kata orang-orang tua, lidi kalau sebatang, senang dipatahkan, tetapi bila jadi penyapu, nak patah memang susah. Ini konsep yang saya dan agensi pegang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 6:56 AM