Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO ARKB NSTP
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO ARKB NSTP
BERNAMA

Bukit Kayu Hitam: Pembukaan pintu sempadan negara bagi membenarkan kemasukan pelancong asing ke negara ini hanya akan ditentukan selepas negara beralih ke fasa endemik Covid-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika ini ini negara masih berada dalam fasa pandemik wabak itu dan kesediaan untuk peralihan ke fasa endemik akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan.

"Apabila kita telah bersedia, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan, sekarang ini masih dalam isu fasa pandemik, kalau kita sudah bersedia boleh masuk ke fasa endemik.

"Sebenarnya, (agensi penguatkuasaan yang mengawal pintu masuk sempadan) Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia, Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah bersedia, kami sudah bersedia (untuk pintu sempadan negara dibuka)," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Hamzah berkata, kebenaran rentas pintu sempadan negara oleh rakyat negara ini atau warga asing itu juga nanti akan tertakluk kepada prosedur operasi standard yang akan ditentukan kemudian.

Mengenai pembubaran AKSEM dan penyerahan fungsinya kepada PGA di bawah PDRM, Hamzah berkata ia akan menjadikan penyaluran 'perintah dan kawalan' daripada pihak atasan berkaitan operasi dan kawalan di sempadan negara lebih mudah dan berstruktur.

"Kami akan pastikan mempunyai tugasan yang fokus kepada masalah yang kita hadapi di sempadan-sempadan. Kami gabungkan tugasan itu supaya PGA akan dapat memastikan segala tugasan yang di bawah AKSEM dulu, PGA juga akan mengambilnya sebagai keutamaan," katanya.

Hamzah berkata, semua aset AKSEM akan diambil alih dan diuruskan oleh PGA, sementara seramai 909 anggota dan pegawai perjawatan asal dalam AKSEM akan dikembalikan kepada agensi masing-masing.

Sebelum ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mac bersetuju dengan cadangan rasionalisasi AKSEM menerusi penstrukturan semula serta diletakkan di bawah PDRM dan Akta AKSEM 2017 (Akta 799) akan dimansuhkan setelah proses penstrukturan itu dilaksanakan.

AKSEM yang ditubuhkan pada Disember 2017 membabitkan keanggotaan daripada lima agensi iaitu PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi AntiDadah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 3:57 PM