ZAHIRIL lakon watak Tuan Rudi dalam Scammer 2.
ZAHIRIL lakon watak Tuan Rudi dalam Scammer 2.
Sudirman Mohd Tahir


KEMUNCULAN pelakon Zahiril Adzim di televisyen atau layar lebar sentiasa dinantikan peminat. Kepelbagaian watak dilakonkan menjadikan dia antara pelakon lelaki yang cukup versatil.

Terbaharu menerusi drama Scammer 2 yang ditayangkan di Astro Ria, Zahiril melakonkan watak Ustaz Rudi yang mana karakter yang dipaparkan tidak pernah dilakonkan sebelum ini.

Menurut Zahiril, watak Ustaz Rudi atau Tuan Rudi iaitu seorang penunggang agama membolehkan dia bermain dengan ekspresi mengikut situasi 'hitam dan putih'.

"Saya tak pernah main karakter begini. Tuan Rudi, satu karakter penunggang agama. Apa yang saya suka disebabkan dia satu karakter yang baharu untuk saya. Saya cuba buat dan yang seronoknya, bila ada sebahagian daripada Tuan Rudi di mana dia menyampaikan mesej agama.

"Segala mesej itu, sebahagian dari skrip dan sebahagian dari saya sendiri. Saya nak penonton dengar. Dakwah yang disampaikan itu betul dan bukan sesat. Mesej itu memang betul, contoh mengenai sahabat Nabi.

"Tuan Rudi ini dia scammer, jadi bila dia cakap orang percaya. Cuma di belakang karakter, dia ada kerja hitam. Saya rasa seronok, saya boleh jadi baik dengan berdakwah dan saya boleh main jahat dalam satu karakter. Jadi, bila main watak jahat, saya boleh teroka lagi. Boleh main macam-macam warna," katanya.

Menurut Zahiril, dia mahu orang ramai sentiasa berhati-hati dengan watak dan karakter Tuan Rudi seperti dipaparkan dalam Scammer 2.

"Biasalah, kita ni bila kita nampak atau tengok sesuatu kita nak kaitkan dengan diri atau persekitaran. Mungkin bila penonton tengok, dia nak samakan supaya dia rasa boleh ada kaitan.

"Bila saya dapat skrip, saya tak rasa Tuan Rudi sama dengan mana-mana karakter. Memang saya tak jumpa, imej atau luaran dengan pakai songkok dan rambut panjang serta kerja yang dibuat menggunakan anak yatim dan sampai tahap pembunuhan, tiada siapa di luar sana yang begitu.

"Cuma yang nak kita sampaikan, berhati-hati dengan penunggang agama macam ni. Ada yang penunggang agama buat Tuan Rudi buat. Kita dah tengok macam berita, orang guna anak yatim dan tahfiz. Jadi, hanya kerja yang dibuat. Mungkin ada orang buat macam Tuan Rudi ni," katanya.

Menariknya, menerusi Scammer 2, Zahiril bergandingan dengan pelakon juga rakannya, Beto Kusyairy.

ZAHIRIL suka mesej dan jalan cerita Scammer 2.
ZAHIRIL suka mesej dan jalan cerita Scammer 2.

"Alhamdulilah, rezeki berlakon dengan sahabat sendiri. Antara sebab saya terima cerita ini, pertama kerana jalan cerita dan 'line up' dia serta pasukan yang baik. Dengan Beto, saya tahu ada nama Beto, saya lega sebab saya tahu saya boleh skip beberapa proses.

"Skip nak kenal, nak masuk kepala, lepas tu nak tengok mcm mana dia ni nak main, karakter macam mana. Jadi, dengan Beto saya dah tahu sebab dah banyak kali kerja. Dia pula pun akan buat yang sama. Kami ni saling 'react-me reacting' pada lakonan masing-masing. Saya lega dan saya tahu kerja saya lebih mudah," katanya.

Begitu juga bekerja dengan pengarah, Norhanisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Labu dalam kalangan penggiat seni, Zahiril mengakui berasa lebih yakin.

"Saya pernah kerja ketika dia menjadi Pengarah Fotografi (DOP) dan jurukamera masa filem Juvana. Lama dulu, jadi saya tahu visual bagaimana, cara kerjanya juga saya tahu. Jadi, saya yakin di situ.

"Apabila dia pula mengarah, saya tahu pengarah saya tahu apa shot dia nak, 'cut' yang dia mahu, 'flow' dari babak ke babak macam mana nak jadi serta transisi sebab dia DOP. Di situ saya sudah gembira. Bahagian kedua pula, Labu jenis pengarah yang terbuka. Kalau dia nak yang lain, dia akan tanya dan cadangkan. Dia tak bagi arahan, tapi dia beri dan minta pendapat," katanya.

Selain Zahiril dan Beto, Scammer 2 yang diterbitkan oleh Radius One turut dibintangi pelakon Farah Nabilah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 6:07 AM