Khairul Azzuar menjadi ‘bapa ayam’ hasil persundalan budak dihukum penjara 10 tahun di Putrajaya. FOTO Murni Wan Omar
Murni Wan Omar

GRADUAN perubatan dari universiti di Mesir dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Putrajaya atas kesalahan hidup atas hasil persundalan seorang kanak-kanak berusia 14 tahun.

Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Azzuar Yusoff, 30, yang mengaku bersalah atas kesalahan terbabit selepas kes disebut semula.

Tertuduh yang sebelum ini mengaku tidak bersalah, bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi memberi keterangan.

Khairul Azzuar didakwa hidup daripada hasil persundalan kanak-kanak itu di Berjaya Times Square Hotel dan Service Apartment, Jalan Imbi, pada jam 2 petang sehingga jam 3.30 petang pada 26 Januari 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Khairul Azzuar sudah dikenakan hukuman penjara 24 tahun dan 8 sebatan atas kesalahan menjadi orang tengah dan hidup atas hasil persundalan di Mahkamah Kuala Lumpur.

Berdasarkan fakta kes, pada 8 Februari 2017, jam 11.30 pagi, Deputi Superintendan (DSP) Ooi Chong Lai menerima arahan daripada DSP Syed Mohd Azam Syed Ibrahim untuk menyelamatkan seorang remaja yang disyaki mangsa pelacuran.

Maklumat yang diterima mangsa akan berada di perkarangan Starbuck di Pusat Membeli Belah Times Square, dan Ooi melihat remaja itu berdiri berseorangan dan seolah-olah menunggu seseorang sambil melihat telefon bimbitnya.

Ooi kemudian menahan remaja itu dan menyerahkan kepada pegawai penyiasat.

Berdasarkan siasatan, remaja itu mengesahkan dia membuat aktiviti pelacuran selepas ditawarkan oleh tertuduh.

Remaja itu mendakwa dilanggan oleh dua lelaki pada 26 Januari 2017 antara jam 2 petang sehingga jam 3.30 petang di tempat kejadian.

Dia juga mendakwa mendapat bayaran khidmat seks yang diberikan oleh pelanggan tetapi dibayar kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 3:43 PM