Sarah Zulkifli


PELAJAR kedoktoran dan pekerja hotel yang dijatuhi hukuman penjara 24 tahun atas pertuduhan terbabit dalam sindiket pelacuran menerusi aplikasi WeChat, dipenjara 10 tahun lagi dan satu sebatan atas pertuduhan sama.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah terhadap siswazah perubatan universiti di Mesir, Khairul Azzuar Yusoff dan pekerja hotel, Mohyuddin Ahmad Fajarudin yang mengaku bersalah atas pertuduhan menjadi orang tengah bagi aktiviti persundalan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu selepas hukuman penjara 14 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat minggu lalu, selesai.

Ini menjadikan mereka tetap menjalani hukuman penjara 24 tahun secara keseluruhan, bagi kesemua kes dihadapi di dua mahkamah berlainan, iaitu di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, Mohyuddin dan Khairul Azzuar juga dikenakan hukuman sebatan masing-masing 14 dan sembilan bagi kesemua kesalahan dilakukan mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hotel di Subang Jaya, Januari tahun lalu.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mohd Kamil Nizam, Mohyuddin dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkapnya pada 7 Februari 2017 dan dua sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan hidup hasil daripada aktiviti persundalan itu.

Bagi kesemua kes itu, pendakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 372 (1)(f) dan Seksyen 372 A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh dengan alasan tindakan keji kedua-dua tertuduh yang hidup hasil daripada aktiviti persundalan ini bertentangan dengan moral dan agama.

"Meskipun mangsa dalam kes ini melakukan perbuatan itu secara sukarela, namun, sekiranya tertuduh tidak memberikan peluang itu, aktiviti tidak bermoral itu mungkin dapat dibendung," katanya.

Bagaimanapun, peguam Zulaikha Fardi yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman penjara dan sebatan yang paling minimum serta berjalan serentak dengan hukuman yang sedang berjalan kerana dua-dua anak guamnya adalah pesalah muda dan sudah insaf.

Mengikut fakta kes, pegawai polis menyamar sebagai pelanggan menerusi WeChat dengan menggunakan nama samaran Encik Nakal (Khairul Azzuar) dan Santiago (Mohyuddin) yang mengendalikan aktiviti pelacuran yang bergiat aktif sejak dua tahun lalu.

Bertindak atas maklumat, satu serbuan dilakukan sebelum dua buah telefon pintar yang digunakan untuk aktiviti itu ditemui.

Berita berkaitan:

2 bapa ayam WeChat dipenjara 14 tahun

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 5:15 PM