GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azura Abdul Jalil

BEKAS penuntut perubatan dari universiti di Mesir dan pekerja hotel masing-masing dihukum penjara 14 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti persundalan termasuk menjadi orang tengah menerusi aplikasi WeChat, dua tahun lalu.

Hakim Datin M Kunasudary turut menjatuhkan hukuman sebatan masing-masing dua dan empat sebatan terhadap Khairul Azzuar Yussof, 30, dan Mohyuddin Ahmad Fajarudin, 24, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi Khairul Azzuar, dia yang berdepan dengan dua pertuduhan iaitu menjadi orang tengah dan hidup atas hasil persundalan, mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara masing-masing tujuh tahun dan satu sebatan dan berjalan secara berasingan menjadikan dia terpaksa meringkuk di penjara selama 14 tahun dan dikenakan dua sebatan.

Sementara itu, bagi Mohyuddin pula, fail pertama yang mengandungi dua pertuduhan ke atasnya iaitu menjadi orang tengah dan hidup atas hasil persundalan, tertuduh dihukum penjara masing-masing tujuh tahun dan satu sebatan dan diperintahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 7 Februari 2017.

Bagi fail kedua yang mengandungi pertuduhan serupa, Mohyuddin turut dihukum masing-masing penjara tujuh tahun dan satu sebatan bagaimanapun, hukuman bagi fail ini diperintahkan berjalan serentak dengan hukuman fail pertama yang menjadikan dia terpaksa menjalani hukuman penjara 14 tahun dan empat sebatan.

Mengikut pertuduhan, Khairul Azzuar dan Mohyuddin masing-masing didakwa atas satu dan dua pertuduhan iaitu bertindak sebagai orang tengah bagi persundalan ke atas dua wanita warga Indonesia.

Khairul Azzuar juga didakwa dengan satu pertuduhan hidup hasil daripada persundalan mangsa yang sama manakala Mohyuddin didakwa atas dua pertuduhan serupa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua hotel di Jalan Changkat Thambi Dollah dan di Jalan Imbi di Kuala Lumpur, masing-masing pada Oktober dan Disember 2016 dan Januari 2017.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372(1)(f) dan Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Suzanawaty Ismail.

Terdahulu, Suzanawaty merayu mahkamah memberikan hukuman yang rendah kepada dua-dua anak guamnya atas alasan mereka telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

" Akibat kes ini, Khairul Azzuar telah dibuang keluarga dan masa depannya untuk menjadi seorang doktor telah hancur. Selain itu dia terpaksa membayar balik wang biasiswa lebih RM100,000 kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Mohyuddin pula seorang lepasan politeknik dalam bidang kejuruteraan, mohon diberikan peluang kedua," katanya.

Rozaliana bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah bertentangan dengan moral, adab dan agama.

Sepanjang prosiding perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi manakala pembelaan memanggil dua saksi untuk memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 6:19 PM