BERSAMA keluarga pada hari bahagia.
BERSAMA keluarga pada hari bahagia.
BERSAMA keluarga pada hari bahagia.
BERSAMA keluarga pada hari bahagia.
RUZANA tidak pernah kongsi kisah peribadi, selamat bernikah Sabtu lalu.
RUZANA tidak pernah kongsi kisah peribadi, selamat bernikah Sabtu lalu.
Norhayati Nordin


Setiap selebriti ada cara tersendiri untuk berkongsi kisah peribadi mereka dan pelakon Ruzana Ibrahim, 34, lebih selesa untuk berahsia.

Menyimpan kemas rahsianya selama empat tahun, akhirnya pada Sabtu lalu, Ruzana selamat bernikah dengan jejaka pilihannya.

Memilih M Fadhil Zakaria, 36, seorang ahli perniagaan di Pahang, dengan sekali lafaz pasangan sejoli itu sah bergelar suami isteri.

Bertempat di Sunway Nexis Kota Damansara, Petaling Jaya, majlis pernikahan Ruzana dan M Fadhil berlangsung pada jam 10.45 pagi.

Bagaimanapun, majlis pernikahan itu diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat.

Di lokasi sama, pada tengah hari pula pasangan pengantin mengadakan majlis resepsi yang meriah dengan konsep ala Inggeris.

Ruzana yang dikenali menerusi drama Isteri Tuan Ehsan berkata, dia bersyukur majlis perkahwinannya berjalan lancar.

“Terima kasih kepada keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat yang sudi hadir meraikan majlis perkahwinan saya.

“Memang saya dan suami memilih majlis sederhana tetapi meriah seperti ini. Syukur, ia berlangsung dengan jayanya. Begitu juga pada acara nikah, saya menerima sebentuk cincin dan mas kahwin sebanyak RM300 daripada suami,” katanya.

Ruzana juga memberitahu tidak ada pertukaran dulang hantaran di antara pihaknya dan suami pada majlis akad nikah yang berlanggsung.

“Kami sepakat memberi fokus kepada perkara wajib iaitu akad nikah. Wang hantaran juga dirahsiakan.

“Bagi kami, hanya rasa syukur mampu diungkapkan kerana majlis berlangsung seperti dirancang. Saya juga memilih untuk tidak menguar-uarkan kisah peribadi kerana mahu dikenali dengan bakat.

“Walaupun sering melakonkan watak pembantu, saya tidak kisah kerana paling utama dapat memberi lakonan yang bagus,” katanya.

Mengulas mengenai bulan madu, Ruzana berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dengan suami.

“Saya jarang merancang jika pergi bercuti. Namun, untuk bulan madu biarlah berbincang dahulu. Setakat ini, destinasi sudah ada tetapi belum diputuskan. Apa pun, urusan kerja harus diselesaikan dahulu,” katanya.

Pernah membintangi filem epik, Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior, Ruzana juga aktif di pentas teater.

Bakal meneruskan karier lakonan diceburi, anak jati ibu kota ini memberitahu suaminya sangat memahami.

“Bagaimanapun, selepas bergelar isteri semestinya tawaran berlakon yang diterima perlu dirujuk kepada suami.

“Namun, jika watak itu sesuai tiada masalah diterima. Ini kerana lakonan adalah minat dan karier saya,” katanya.

Anak ketiga daripada tujuh beradik, Ruzana dinikahkan sendiri bapanya, Ibrahim Ayob, 66, selaku wali.

Antara rakan selebriti dilihat hadir pada majlis persandingan itu ialah Sharifah Amani, Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah, Tony Eusoff dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:07 AM