Ruzana pada hari bahagia bersama suami, M Fadhil. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Ruzana pada hari bahagia bersama suami, M Fadhil. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Norhayati Nordin


SELEPAS empat tahun berkenalan, pelakon Ruzana Ibrahim, 34, selamat bernikah dengan lelaki pilihannya, M Fadhil Zakaria, 36, di Sunway Nexis Kota Damansara, pagi tadi, hari ini.

Pasangan Pengantin bergambar dengan keluarga belah lelaki. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Pasangan Pengantin bergambar dengan keluarga belah lelaki. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Pasangan sejoli itu sah bergelar suami dan isteri pada 10.45 pagi dengan sekali lafaz selepas dinikahkan oleh bapa Ruzana, Ibrahim Ayob, 66 selaku wali.

Ditemui seketika pada majlis resepsi perkahwinannya, Ruzana berkata dia selesa memilih majlis pernikahan yang sederhana.

"Dalam majlis nikah itu, saya menerima sebentuk cincin dan mas kahwin sebanyak RM300 daripada suami.

"Kami tidak ada pertukaran dulang hantaran kerana yang paling utama ialah acara wajib iaitu akad nikah," katanya yang merahsiakan jumlah wang hantaran.

Ruzana berkata majlis pernikahannya itu diadakan secara tertutup hanya dihadiri keluarga, sanak saudara serta kenalan rapat dia dan suami.

"Saya memang mengundang rakan media dikenali untuk majlis resepsi yang berlangsung pada tengah hari hingga petang.

"Majlis perkahwinan saya dan suami sederhana kerana ini memang pilihan kami. Apapun, yang seronoknya ia berlangsung meriah," katanya.

Ruzana yang banyak melakonkan watak pembantu dalam drama dibintangi, cukup dikenali menerusi drama Isteri Tuan Ihsan bersama pelakon Datuk Aaron Aziz dan Amyra Rosli.

Turut aktif di pentas teater, Ruzana bertemu jodoh dengan M Fadhil, seorang ahli perniagaan di Pahang yang berasal dari Terengganu.

Antara selebriti tanah air dilihat hadir meraikan pengantin pada majlis itu ialah Sharifah Amani, Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah, Tony Eusoff dan ramai lagi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 6:05 PM