FADHIL bersama pasanganya, Nur Atiqah Khairulanuar pada majlis walimatulurus di Kampung Bukit Kerayong, Kapar. FOTO HAZREEN MOHAMAD
FADHIL bersama pasanganya, Nur Atiqah Khairulanuar pada majlis walimatulurus di Kampung Bukit Kerayong, Kapar. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara yang juga pemenang rekod 1 kilometer ujian masa, Muhammad Fadhil Zonis menamatkan zaman bujang dengan memilih Nur Atiqah Khairulanuar sebagai pasangan hidupnya.

Majlis akad nikah berlangsung pada 4 Februari lalu dengan majlis resepsi di sebelah lelaki hanya dilangsungkan hari ini, Fadhil berkata, status sebagai seorang suami tidak akan menghalang tugasnya untuk berbakti kepada negara malah menganggap ia mampu menyuntik semangatnya dengan sokongan dari isteri tercinta.

Fadhil yang sebelum ini berpangkalan di Melbourne, Australia bersama-sama dua lagi pelumba negara iaitu Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom berkata, fokusnya selepas ini adalah membuat persediaan ke Kejohanan Dunia dan Sukan Asia.

Malah tiada istilah berbulan madu buat pengantin baharu itu.

"Saya tidak mengambil cuti panjang kerana mahu fokus kepada persiapan untuk ke Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 3 hingga 13 Ogos depan, manakala Sukan Asia Hangzhou, China pula akan berlangsung pada 23 September hingga 8 Oktober.

"Ia amat penting bagi saya dan juga pasukan," katanya yang hanya memilih cuti hujung minggu untuk memastikan majlis di pihak pengantin perempuan (minggu lalu) dan pihaknya hari ini berlangsung dengan baik.

Mengulas mengenai pertemuannya bersama pasangan, Atiqah, Fadhil mengakui dia memberanikan diri untuk menegur gadis berasal dari Pulau Pinang itu menerusi aplikasi media sosial, Instagram.

"Mula-mula kami berkawan, saling mengenal hati budi walaupun dia tidak kenal siapa saya, tidak tahupun saya ni atlet berbasikal kebangsaan (ketawa).

"Dia ada hadir ke Astro ketika saya menjadi tetamu tapi dia tak kenal siapa saya waktu itu," kata Fadhil, 26.

Pada majlis menyambut menantu di pihak pengantin lelaki, iaitu di Kampung Bukit Kerayong, Kapar hari ini, berlangsung meriah dengan kehadiran sanak saudara dan sahabat handai, tidak terkecuali rakan sepelatih Fadhil iaitu Azizulhasni dan Shah Firdaus selain barisan kejurulatihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 5:57 PM