FAREEDA diwakili Pegawai Eksekutif Sumber Manusia-nya, Nur Fathiah Sobry. FOTO Hafiz Sohaimi
FAREEDA diwakili Pegawai Eksekutif Sumber Manusia-nya, Nur Fathiah Sobry. FOTO Hafiz Sohaimi
Sarah Zulkifli


SYARIKAT pengeluar tudung, Fareeda Productions Sdn Bhd (Fareeda) didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini, atas sembilan pertuduhan lewat membayar upah dan membuat potongan berlawanan dengan Akta Kerja 1955, terhadap empat pekerjanya, dua tahun lalu.

Syarikat itu selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili Pegawai Eksekutif Sumber Manusia Fareeda, Nur Fathiah Sobry bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Fareeda didakwa sebagai majikan lewat membayar upah kepada Nur Fatihah Zahar, Nor Shaheera Mohd Nor, Nur Suhana Veera Gnnie dan warga Indonesia, Hartutik yang sepatutnya dibayar sebelum hari ketujuh akhir tempoh upah iaitu 27 Julai 2016.

Syarikat itu juga mengaku tidak bersalah membuat potongan upah bagi Mei 2016, terhadap empat pekerja itu keseluruhannya berjumlah RM307.89, yang berlawanan dengan peruntukan Seksyen 24 Akta Kerja 1955.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat itu di Kawasan Perindustrian Bangi, Seksyen 13, Bandar Baru Bangi pada 31 Mei dan 30 Julai 2016.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 19(1) dan 19(c) Akta Kerja 1955 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 99A akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes diwakili Pegawai Pendakwa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Nor Fathiyah Mohd Yassin, manakala OKS diwakili peguam Nur Azimul Azami.

Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah kemudian menetapkan 23 dan 24 April depan untuk perbicaraan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 2:57 PM