SEBUAH syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan gagal menyediakan asrama atau penginapan pekerja yang diperakui Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pada Januari lepas. FOTO Bernama
SEBUAH syarikat didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan gagal menyediakan asrama atau penginapan pekerja yang diperakui Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pada Januari lepas. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Sebuah syarikat pemprosesan makanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas kesalahan gagal menyediakan kemudahan penginapan dan asrama bersesuaian kepada 146 pekerjanya pada Januari lalu.

Syarikat Twenty-Twenty Food Industry Sdn Bhd yang diwakili pengurus besarnya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa menempatkan seorang pekerja warga Indonesia bernama Nenni Juniarti Tanjung di asrama yang tidak diperakukan dengan perakuan penginapan mengikut Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Bagi pertuduhan kedua, syarikat sama didakwa gagal menyediakan kemudahan bilik air dan tandas mengikut nisbah satu bilik air dan tandas bagi 15 pekerja (1:15) kepada 146 pekerja mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

Syarikat itu didapati melakukan kesalahan itu di asrama kilang yang terletak di Jalan Kedundung, Pokok Sena, pada jam 10.30 pagi, 13 Januari lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan, syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah, Norulaskin Mustafa, manakala syarikat berkenaan tidak diwakili peguam.

Pengurus besar yang mewakili syarikat terbabit dalam rayuannya memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman denda berikutan wang terbabit boleh diguna syarikat bagi menaik taraf kemudahan asrama dan tandas.

Bagaimanapun, Norulaskin memohon hakim menjatuhkan hukuman setimpal berikutan syarikat terbabit melakukan kesalahan ketika negara berhadapan ancaman penyakit berjangkit dan sebagai pengajaran kepada majikan lain.

Sharifah Norazlita kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar bagi setiap pertuduhan ke atas syarikat itu.

Untuk rekod, Twenty-Twenty Food Industry Sdn Bhd adalah majikan pertama di negara ini didapati bersalah mengikut Akta Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Wakil syarikat kemudian membayar denda berjumlah RM20,000 berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 5:27 PM