FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nur Lela Zulkipli

SEBUAH syarikat cermin mata didenda RM9,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah menjual cermin mata tiruan jenama Gucci pada 11 Mei 2016 lalu.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat I World Sun Glass Sdn Bhd yang diwakili Chiew Ai Lee selaku Orang Kena Saman (OKS).

Mengikut pertuduhan, satu pemeriksaan dilakukan ke atas premis I World Sun Glass Sdn Bhd di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bersama pengadu dari Syarikat Global Trade Shield yang juga wakil pemilik cap dagang jenama Gucci.

Hasil pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis cermin mata termasuk jenama Gucci keluaran syarikat pengadu.

Dalam pemeriksaan itu, sebanyak 449 unit cermin mata hitam jenama Gucci dan 245 unit cermin mata jernih jenama sama bernilai RM6,940 disyaki mempunyai dalam kawalan untuk pembekalan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu

digunakan.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(A) akta sama, yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd Kamil Khirodin yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada bakal pesalah lain.

“Saya mohon hukuman setimpal diberikan kepada OKS dengan mengambil kira hak dan kepentingan pemilik cap dagang dalam industri fesyen dan aksesori.

“Hak pengguna negara juga perlu diambil kira dan berharap hukuman setimpal dapat memberi pengajaran kepada individu lain,” katanya.

Chiew yang tidak diwakili peguam turut merayu supaya hukuman yang lebih ringan dikenakan atas alasan perlu menanggung dua anak yang masih kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 2:09 PM