BUNKFACE. FOTO Eizairi Shamsudin
BUNKFACE. FOTO Eizairi Shamsudin
Ardini Sophia Sina

Kumpulan Bunkface yang popular dengan lagu Malam Ini Kita Punya mempunyai strategi tersendiri untuk terus relevan dalam industri seni. Sudah 10 tahun berjuang dalam seni, band ini menyasarkan lagu untuk generasi muda.

Bunkface yang dianggotai Sam Baharom selaku penyanyi dan pemain gitar, Youk (bass dan penyanyi latar) dan Paan (gitar utama) akan cuba meluaskan jangkauan usia pendengar menerusi karya mereka.

Mungkin tidak ramai yang tahu, runut bunyi untuk filem Boboiboy The Movie dinyanyikan oleh Bunkface. Malah, ‘jodoh’ kumpulan ini dengan animasi kegemaran kanak-kanak itu berpanjangan.

Bunkface juga diminta oleh pihak syarikat animasi berkenaan untuk menghasilkan lagu khas siri Boboiboy Galaxy. Maka, kumpulan ini muncul dengan single Dunia Baru.

Kata Sam, itu adalah antara strategi untuk terus mendapatkan peminat yang akan menyokong kerjaya seni mereka. Tambahan pula, animasi itu tidak hanya popular di Malaysia, juga di Singapura, Indonesia dan Brunei.

“Alhamdulillah, masih ada rezeki Bunkface dengan animasi Boboiboy. Kami berbesar hati menerima amanah daripada pihak syarikat untuk menyanyikan lagu runut bunyi filem iaitu Masih Di Sini dan Dunia Baru buat siri kartun di televisyen.

“Strategi kami adalah meluaskan empayar dengan menjangkau lebih banyak peminat terutama kalangan generasi muda. Kami sentiasa mencari penyokong baru.

“Kami sudah 10 tahun dalam industri. Kami perlu mencari strategi agar terus bertahan sebagai Bunkface. Maka, lagu-lagu yang akan kami hasilkan juga sesuai dengan kanak-kanak dan remaja,” kata Sam.

Menghasilkan lagu yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak tidaklah terlalu sukar. Jelas Sam, sejak awal pembabitan lagi, karya yang mereka hasilkan menceritakan semangat setia kawan dan perjuangan.

Ada khabar angin mengatakan, mereka akan diminta untuk menghasilkan lagu baru khas untuk Boboiboy. Bagaimanapun bagi Sam, adalah lebih baik penyanyi lain yang menggalas tanggungjawab itu.

BUNKFACE. FOTO Eizairi Shamsudin
BUNKFACE. FOTO Eizairi Shamsudin

Begitupun, seandainya perkara itu benar seperti dikata, mereka tetap berbincang dan memikirkan tawaran berkenaan. Namun, tidak banyak yang boleh dikongsikan kerana ia masih sekadar khabar angin.

“Kami dengar mungkin ada lagu ketiga untuk Boboiboy. Setakat ini kami sudah hasilkan dua lagu. Bukan tidak mahu tetapi bimbang pendengar muak. Ada kerisauan lagu ketiga mungkin tidak sebaik yang sebelum ini.

“Sudah lama berkarya, kami tidak boleh main bantai saja. Semuanya perlu dibuat dengan hati-hati dan teliti. Namun, kalau benar seperti dikata, kami tidak akan tolak mentah-mentah. Kami akan fikirkan dan berbincang,” kata Sam.

Album baru lepas raya

Kali terakhir mereka hasilkan album adalah pada 2016. Tidak mengkategorikan album mereka dalam mana-mana genre lagu, Sam berkata, buah tangan yang memuatkan lapan lagu itu lebih bebas.

Bunkface kini bakal muncul dengan single Apa Pun Tak Boleh sebelum memasarkan album kelima selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Tatkala penyanyi hanya mempertaruhkan single, Bunkface berani menongkah arus dengan menghasilkan album penuh.

Kata Paan, mereka kumpulan yang punya cerita dan konsep untuk diketengahkan.

“Apabila ada cerita dan konsep, kena muncul dengan album penuh. Mungkin yang lain pilih single tetapi itu bukan cara kami.

“Namun, seperti yang Sam katakan, kami akan perkenalkan single baru bulan depan dan kemudian diikuti album penuh. Antara yang bakal dimuatkan dalam album ini adalah single Kembali,” katanya.

Lebih menarik, menerusi lagu Apa Pun Tak Boleh, Bunkface berkolaborasi dengan Datuk Jeffrydin dan Caprice. Lagu itu ditujukan khas kepada individu yang enggan maju ke hadapan.

“Ini contoh lagu yang saya katakan menjangkau sempadan usia. Datuk Jeffrydin mewakili golongan veteran dan kami serta Caprice pula generasi muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 3:54 AM