SAM teruja sambut Ramadan bersama Aida.
SAM teruja sambut Ramadan bersama Aida.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kelesuan pasaran album tempatan sama sekali tidak mematahkan semangat kumpulan Bunkface untuk terus berkarya.

Terbaru, kumpulan dianggotai Sam selaku vokalis, Paan (gitar utama) dan Youk (gitar bass) itu tampil dengan single berjudul Darah Muda.

Menurut Sam, single berkenaan sudah diputarkan di radio dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

“Harap lagu ini dapat mengubat kerinduan peminat. Lagu ini dipetik daripada album mini Malam Ini Kita Punya.

“Sebelum Ramadan, Bunkface terbabit dengan beberapa program yang sudah diatur.

“Kami turut merakamkan lagu tema filem animasi Boboiboy berjudul Masih Di Sini dan versi bahasa Inggeris, Until Forever,” katanya.

Mendirikan rumah tangga pada April lalu tidak membataskan pergerakan Sam bersama Bunkface. Bahkan isteri tercinta, Aida Azira Hussin akan menemani Sam sekiranya ada kelapangan.

“Dulu ke mana-mana saya seorang diri tetapi kini ditemani isteri. Dia sangat memahami kerjaya saya dan sentiasa menyokong usaha saya.

“Saya bangga bergelar suami dan tidak sabar menimang zuriat. Kami tidak merancang dan sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan ayah,” katanya.

Habiskan masa dengan isteri

Menyingkap keistimewaan Ramadan kali ini, Sam mengakui teruja dapat meluangkan banyak masa dengan Aida. Seperti pasangan lain, mereka bersahur, berbuka dan bertarawih bersama.

Detik itu cukup indah bagi Sam apatah lagi ini pengalaman pertamanya berpuasa sebagai suami.

“Sepanjang Ramadan saya tidak ambil sebarang tawaran.

“Sudah jadi tradisi Bunkface untuk berehat pada bulan puasa dan memperbanyakkan ibadah. Namun jika undangan ada kaitan dengan kerja amal, akan kami pertimbangkan.

“Seronok dapat bersahur dan berbuka dengan Aida. Saya bawa dia ke masjid untuk solat Tarawih dan perasaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Cukup indah dan bermakna buat saya. Mungkin inilah sebahagian nikmat berumah tangga,” katanya.

Sam turut berkongsi tidak gemar membeli juadah berbuka di bazar Ramadan kerana mahu makan makanan yang dimasak isteri.

“Aida suka masak, jadi tidak ada sebab untuk saya beli makanan di bazar. Saya sendiri boleh masak dan suka membantunya di dapur.

“Ini tahun pertama kami menyambut Ramadan sebagai suami isteri, biarlah ada kenangan manis dalam bulan penuh keberkatan ini,” katanya ceria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 11:35 AM