Sofiatul Shima Wan Chik


Benarlah kata pepatah, kadangkala yang benar itu memang menyakitkan dan itulah sering dilalui tiga anak muda berjuang atas nama Bunkface kerana sering bersuara lantang mengenai muzik masa kini.

Mula dikenali pada 1997, tiga anak muda ini, Sam, Paan dan Youk melihat muzik Malaysia masa kini seperti terkebelakang.

Bagi mereka, lagu-lagu sekarang mudah popular tetapi muzik dipersembahkan bersifat mundur.

Kata-kata jujur ini mendapat perhatian pemuzik dan diulas dalam media sosial.

Ramai yang menyokong dan ada juga yang gusar dengan keberanian mereka meluahkan kebenaran.

Namun lontaran pendapat ini bukan kosong. Mereka kini membawa pembaharuan dalam material lama bagi mempamerkan kesegaran mereka.

Muncul dengan lagu Kembalii yang pernah dimuatkan dalam album Malam Ini Kita Punya dan diberi nafas baru dalam susunan muziknya.

Sam atau Shamsul Annuar Mohd Baharom vokalis Bunkface itu akui ada peminat bertanya kenapa bukan lagu baru untuk diberikan kepada peminat sebaliknya lagu lama.

Katanya, mereka berbuat demikian kerana dulu kurang berpuas hati dengan susunan lagu itu yang dibuat dalam masa singkat.

“Kami rasa lagu ini bagus dan sedap. Jadi timbul idea untuk melakukan perubahan 50 peratus dalam susunan muziknya agar menepati muzik zaman kini,” katanya.

Sam berkata, lagu membawa rasa kembali ke jalan benar ini juga memberi satu pengertian serta nilai sentimental tersendiri buat mereka.

“Sebenarnya lagu ini buah tangan pertama kami dirakamkan di studio Bunkface. Awal dengan hanya studio latihan, ruang lengkap itu dinaik taraf sebagai studio rakaman untuk aset masa hadapan kumpulan kami.

“Kembalii merupakan bahan uji kaji pertama. Kita puas hati dari segi kualiti dan hasilnya,” katanya mengenai studio yang memakan kos RM100,000 untuk diubah suai.

Menyambut ulang tahun ke-10 mereka tahun lalu dengan konsert, Bunkface berasakan sudah tiba masanya untuk mereka berbuat sesuatu yang baharu.

Kata Sam, mereka mahu membuat penjenamaan semula walaupun memakan masa.

“Bunkface sudah melepasi zaman remaja dan kini masuk fasa kematangan. Sudah semakin berusia maka kami cenderung untuk berubah, begitu juga muzik kami.

“Sebagai anak seni, memang penting untuk berevolusi agar tidak terus berada di takuk lama,” katanya.

Pemain bass, Youk juga sedar proses perubahan yang dilakukan turut dirasai dan memberi impak kepada peminat setia mereka.

“Kami tidak pernah meragui kesetiaan pengikut yang sentiasa memberi ruang dan pendapat untuk kami untuk terus berevolusi.

“Kami mahu kekal relevan. Mungkin sudah kurang rock tetapi boleh menampakkan kematangan kami,” katanya.

Pada masa yang sama, Bunkface dalam rangka mempersiapkan material untuk album baharu mereka yang dijadualkan menemui peminat pada tahun hadapan.

Janji mereka, lagu-lagu mereka nanti mempersembahkan kematangan, enak di dengar dan diterima masyarakat Malaysia.

Pilih keindahan Bromo

Sebagai satu langkah promosi untuk kemunculan Kembalii, Bunkface turut menghasilkan video muzik yang dibuat khas untuk peminat.

Apa yang menarik, Bunkface memilih keindahan Surabaya, Indonesia untuk video muzik ini. Berlatarkan keindahan Bromo, Surabaya, Bunkface melalui pengalaman menarik sepanjang proses penggambaran muzik yang diarahkan Rosli Mohamed dari CST Production.

Penggambaran dilakukan Ogos lalu dan Bunkface bertapa selama lima hari empat malam di Bromo.

Kata Paan, ikutkan mereka mahu merakamkan keindahan New Zealand atau Switzerland untuk melatari klip mereka tetapi sedar akan kekangan kos, lalu mereka mencari alternatif yang tidak jauh cantiknya.

“Kami memang mahukan keindahan semula jadi dan turut juga berniat untuk mendekati peminat di Indonesia. Ia ibarat serampang dua mata.

“Kami bertolak seawal jam 2.30 pagi untuk ‘menangkap’ keindahan gunung Bromo. Pasukan kami juga berpeluang melihat dan meneroka keindahan Gunung Bromo. Antara tempat yang menjadi pilihan kami ialah air terjun Madakaripura dan Tumpak Sewu” katanya.

Kata Paan, visual yang dipilih memang kena dengan perjalanan lirik dan melodi lagu Kembalii yang mengarah hati dan jiwa ke jalan yang benar.

“Lagu ini bersifat ketuhanan. Jadi latar belakang yang dipilih memang kena,” katanya.

Menariknya juga, mereka tidak mempunyai sebarang papan cerita untuk perjalanan lagu ini dan melakukan penggambaran secara spontan dan gerak rasa.

Mereka sangat berpuas hati dengan hasil video muzik ini dan bersyukur ia diterima peminat. Ia kini ditonton lebih 370,000 penonton selama dua minggu dimuat naik di laman YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 2:45 AM