PERSEMBAHAN Bunkface sempena perasmian pembukaan dewan acara Zepp Kuala Lumpur. FOTO Owee Ah Chun
PERSEMBAHAN Bunkface sempena perasmian pembukaan dewan acara Zepp Kuala Lumpur. FOTO Owee Ah Chun
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Band pop punk, Bunkface gembira diberikan penghormatan sebagai artis pertama beraksi di dewan konsert dari Negara Matahari Terbit, Zepp Kuala Lumpur semasa pelancarannya pada 26 Mei lalu.

Biarpun hanya menyampaikan tiga lagu, Sam (penyanyi), Youk (bass) dan Paan (gitar) tetap berbangga terbabit dalam pelancaran lokasi konsert berprestij itu.

"Setiap pemuzik pasti teringin nak beraksi di sini dan kami sebahagian daripada sejarah yang tercatat ketika pelancaran lokasi ini.

"Sekarang kita dah boleh buat konsert macam dulu dan kami rasa gembira dapat beraksi sebagai pembuka tempat ini. 

"Tempatnya memang menakjubkan dengan segala peralatan yang hebat dan sempurna. Malah Amy Search pun menangis dengan kemudahan yang terdapat di sini," kata mereka. 

Bunkface yang popular dengan lagu Revolusi, Malam Ini Kita Punya dan Darah Muda juga dijadualkan akan mengadakan konsert di lokasi terbabit.

Ia sekaligus menjadikan mereka artis tempatan kedua beraksi di Zepp Kuala Lumpur selepas kumpulan Search menerusi Konsert Endemik yang berlangsung pada malam ini dan esok.

Sam berkata, mereka sedang mengadakan perbincangan lanjut berkenaan perkara ini.

"Kemungkinan ia akan diadakan pada akhir Julai. Konsert ini sempena 15 tahun pembabitan kami dalam industri dan sebagai hadiah buat peminat.

"Berkenaan harga tiket dilokasi ini yang dikatakan agak mahal, kami tak menafikannya, namun inilah yang perlu dibayar untuk lokasi prestij.

"Kami nak didik orang bayar tiket yang berbaloi dengan apa yang dibawakan. Kita perlu bentuk budaya baru dalam menonton konsert," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Bunkface juga merancang menghasilkan album baharu mereka yang sudah 70 peratus siap.

"Segala-galanya berjalan lancar. Kami ambil kesempatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mencari material untuk album ini.

"InsyaAllah jika tiada halangan, hujung tahun ini ia akan dikeluarkan," kata Sam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 10:50 AM