Hadzlihady Hassan


“Saya cuma nak tau siapa dan apa motif dia... itu saja nak tau,” kata Abd Halil Mohamed Noor, 66, lelaki warga emas yang ditendang ketika menunggang motosikal di Jalan Persiaran Gurney, Georgetown, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Asar di Masjid Jamek Lama, Lorong Burma sebelum dihampiri seorang penunggang motosikal yang kemudian menendangnya hingga terjatuh.

Akibatnya, mangsa retak empat tulang rusuk kiri serta luka kedua-dua tangan, lutut, ibu jari kaki dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurut Abd Halil, sejurus terjatuh dia menyangka dirempuh kenderaan lain namun seorang pemandu uber menghampiri dan memberitahu dia nampak dengan jelas perbuatan seorang lelaki yang sengaja menendang motosikalnya.

"Saya menghubungi anak memberitahu dirempuh kenderaan lain dan tidak lama selepas itu dada saya mula berasa sakit.

"Melihatkan keadaan itu, pemandu Uber terbabit membawa saya ke hospital dan dia kemudian memberi salinan rakaman video kepada anak," katanya yang ditemui di HPP, Georgetown, hari ini.

Menurutnya, selepas melihat rakaman video kejadian itu, dia terkejut apabila mendapati seorang lelaki yang juga penunggang motosikal sengaja menendang motosikalnya sebelum melarikan diri.

"Saya sendiri tidak tahu punca dia menendang saya... mungkin salah orang atau diupah namun saya memang tidak bermusuh dengan sesiapa," katanya yang sudah dibenarkan keluar hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya meminta suspek tampil ke balai polis bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, selain rakaman video yang diberikan saksi, polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

"Setakat ini, siasatan mendapati mangsa tidak bermusuh dengan sesiapa dan motosikal ditunggang juga tidak mempunyai hutang.

"Kita juga sedang menyiasat motif kejadian dan suspek diminta tampil bagi membantu siasatan di balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 8:01 PM
LOKASI Abd Halil (gambar kecil) ditendang ketika menunggang motosikalnya di Jalan Persiaran Gurney. FOTO Mikail Ong
LOKASI Abd Halil (gambar kecil) ditendang ketika menunggang motosikalnya di Jalan Persiaran Gurney. FOTO Mikail Ong