ALIRAN trafik berhampiran Terowong Menora arah utara mengalami kesesakan teruk, petang tadi. FOTO Ihsan Twitter PLUS
ALIRAN trafik berhampiran Terowong Menora arah utara mengalami kesesakan teruk, petang tadi. FOTO Ihsan Twitter PLUS
Muhammad Apendy Issahak


KESESAKAN lebih 18 kilometer (KM) berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora, Ipoh arah utara berikutan tumpahan minyak selepas lori simen terbabas di KM258.3 lebuh raya berkenaan.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, kenderaan berat berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan selepas terowong itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 4.34 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dihantar ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah lori sudah terbabas di tepi jalan dan berlaku tumpahan minyak daripada kenderaan itu.

“Kesan daripada tumpahan minyak menyebabkan sebuah kereta dan motosikal turut terbabas akibat jalan yang licin," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku dan mangsa yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

Katanya, anggota BBP Kuala Kangsar dengan bantuan BBP Meru Raya bertindak membantu kerja-kerja membersihkan tumpahan minyak dan operasi selesai pada 7.34 malam.

Sementara itu, pihak PLUS melalui laman Twitter rasminya memaklumkan kemalangan berlaku di kawasan selepas Terowong Menora menuju ke Kuala Kangsar.

Insiden yang menyebabkan laluan kiri terhalang sudah selesai sepenuhnya pada 8.42 malam, namun aliran trafik masih sesak sejauh 18 km.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 9:23 PM