AKSI Nabil ketika sesi kelayakan kategori LMP2 Asian Le Mans Series di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO Luqman Hakim Zubir
AKSI Nabil ketika sesi kelayakan kategori LMP2 Asian Le Mans Series di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO Luqman Hakim Zubir
Sukhairi Thani

Sepang: Pemandu Le Mans negara, Nabil Jeffri menganggap penyertaannya pada pusingan kemuncak Siri Le Mans Asia di Litar Antarabangsa Sepang sebagai rezeki apabila pasukannya, Eurasia Motorsport menamatkan saingan di podium, semalam.

Nabil yang kali pertama bersaing dalam perlumbaan endurance menamatkan perlumbaan kelas LMP2 di tangga ketiga bersama rakan sepasukan Marco Asmer dan Jake Parsons dengan catatan 4 jam 3 minit 12.451 saat.

Dalam perlumbaan penuh dramatik itu juga menyaksikan rakan sepasukan Nabil, Parsons terpaksa dikejar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas mengalami sesak nafas, sekali gus tidak dapat meraikan kemenangan di podium.

Namun, Nabil dan Asmer meneruskan baki saingan bagi memastikan perlumbaan di laman sendiri itu berakhir dengan kejayaan.

“Saya memang menjangkakan penamat di tangga pertama atau kedua namun tempat ketiga ini pun satu rezeki,” kata Nabil yang sebelum ini menyertai perlumbaan Formula 2 (F2).

“Perlumbaan endurance ini sebenarnya menyeronokkan... bukan seperti perlumbaan individu yang disertai sebelum ini dan ia memerlukan kerja sepasukan.

“Sekiranya diberi peluang lagi, sudah tentu saya akan memberi 100 peratus.”

Juara menjadi milik pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota #8 yang menamatkan saingan dengan catatan 4’02:6.258s manakala BBT berada di tangga kedua 4’03:07.960s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 6:54 AM