ANDI Bernadee. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ANDI Bernadee. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syafil Syazwan Jefri


2017 menjadi tahun yang manis buat Andi Bernadee.

Menurut penyanyi berusia 26 tahun ini, 2017 juga menyaksikan semua impian dan matlamatnya menjadi kenyataan.

“Siapa sangka, 2017 adalah tahun yang banyak membawa rezeki buat saya. Nama makin dikenali dan lagu saya juga diterima dengan baik.

“Semua impian dan sasaran yang diletakkan sejak awal tahun dapat direalisasikan,” katanya.

Ditanya mengenai azamnya untuk 2018, Andi punya beberapa impian lain.

“Jika sebelum ini saya dikenali kerana lagu Tak Tun Tuang, kalau boleh tahun ini nak kukuhkan nama dengan lagu sendiri,” katanya.

Selain itu, dia juga ingin hadir dengan lagu baru yang lebih kena dengan personalitinya.

“Buat masa sekarang, Warner Music Malaysia sedang mengumpul material untuk single kedua saya.

“Secara peribadi, saya idamkan lagu yang lebih rancak dan sesuai dengan personaliti saya yang ‘happy go lucky’ tapi semuanya bergantung kepada syarikat rakaman,” katanya.

Tidak sekadar mahu menjadi penyanyi, Andi juga ingin melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan.

“Sudah lama saya menyimpan angan-angan untuk belajar berlakon dan terlalu ingin belajar dengan pelakon hebat Ogy Ahmad Daud.

“Bagi saya, dia adalah pelakon hebat yang tak hanya mengajar berlakon semata-mata, tapi juga memberikan ilmu berkaitan emosi,” katanya.

Menurut Andi, dia yang memiliki sifat mudah gementar dan gugup menganggap itu sebagai kelemahan setiap kali berdepan ramai orang.

“Kalau berada di depan khalayak, saya akan jadi gagap. Jadi, saya perlukan bimbingan daripada kelas lakonan dan yakin itu mampu membuatkan saya selesa ketika di pentas,” katanya.

Berbicara mengenai dunia lakonan, Andi menantikan jika ada sesi uji bakat yang dianjurkan oleh mana-mana syarikat produksi.

“Saya dimaklumkan, pada penghujung tahun banyak syarikat produksi ‘berehat’ daripada menjalani penggambaran. Jika ada sesi uji bakat, saya tak akan lepaskan peluang untuk menyertainya,” katanya.

Ditanya mengenai watak idamannya, Andi berkata, dia mahu mencabar diri menerima apa saja watak.

“Saya tak kisah watak apa yang diberikan. Saya anggap itu sebagai ilmu dan pengalaman baru,” katanya.

Berkongsi mengenai kehidupan, walaupun semakin sibuk dengan kerja seni, Andi tidak pernah mengeluh.

“Apabila makin dikenali, ke mana saya pergi, orang akan kenal. Saya tak pernah penat dan menganggap peminat adalah penyokong yang menjadi tulang belakang saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 6:56 AM