SARAH tak sangka jadi pilihan Andi untuk nyanyikan lagu Penat di SFMM36.
SARAH tak sangka jadi pilihan Andi untuk nyanyikan lagu Penat di SFMM36.
Oleh Norhayati Nordin


HAMPIR lima tahun mengukir nama, penyanyi Sarah Suhairi, 22, tidak kisah dia bergerak perlahan-lahan, termasuk memastikan dirinya tidak terkait dengan sebarang kontroversi atau cerita sensasi murahan.

Bagi juara Big Stage musim pertama pada 2018 ini, tiada apa yang hendak terlalu dikejarnya dan selesa dengan melihat perjalanan karier nyanyian sekarang yang terus muncul dengan karya baharu untuk pendengar muzik.

"Saya okay saja apabila tidak banyak cerita mengenai diri disiarkan kerana tahun lalu pun kita semua berhadapan penularan Covid-19 yang cukup hebat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agak lama.

"Sebagai penyanyi, dengan kekangan aktiviti terhad saya sudah berasa sangat bersyukur apabila dapat hadir dengan lagu baharu saja pada tahun lalu untuk peminat. Sekurang-kurangnya, saya masih ada karya untuk dikongsi dengan mereka," katanya.

Bagi Sarah, dia juga menyasarkan dalam setahun dapat tampil dengan dua single baharu sudah memadai asalkan peminat tidak lupa dengan dirinya dan sedar dia masih aktif sebagai penggiat seni.

Berbicara juga mengenai kemunculannya di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik ke-36 (SFMM36) baru-baru ini, Sarah yang menggantikan penyanyi Andi Bernadee mendendangkan lagu Penat berkata, dia sudah membuat yang termampu.

"Tak dinafikan, saya ada rasa sedikit sedih apabila tidak dapat membantu Andi membawa lagunya bertanding ke Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36). Ia disebabkan, saya terkenang kepercayaan besar Andi yang memilih saya untuk membantunya di SFMM36 itu.

"Sejujurnya, saya terkejut juga apabila dimaklumkan Andi dan pihak pengurusannya memilih saya untuk menggantikan dia yang tidak boleh menyertai SFMM36 kerana baru pulang dari London ketika itu," katanya.

Menurut penyanyi lagu Mungkin dan Bicara Rasa ini, dia hanya membuat persediaan dalam beberapa hari kerana mendapat tahu perlu menggantikan Andi pada saat-saat akhir. Tapi katanya, mujur juga dia tahu korus lagu Penat itu.

"Menyanyikan lagu orang lain dengan karya sendiri ada beza serta tekanannya. Apatah lagi, sekiranya lagu itu adalah karya popular rakan baik kita. Takkan saya nak buat sambil lewa saja dalam acara 'live' pula.

"Cuma sayangnya saya tiada rezeki untuk membantu Andi membawa lagunya hingga acara 'final' AJL36 dan semua ketentuan itu dari Allah SWT. Saya pun sudah meminta maaf kepada Andi dan dia pun okay.

SARAH harap ada rezeki jadi pengacara.
SARAH harap ada rezeki jadi pengacara.

"Saya juga ada tanya Andi, kenapa pilih saya untuk nyanyikan lagu Penat itu dan ternyata dia ada alasan tersendiri yang mungkin inginkan lagu itu nampak berbeza apabila penyanyi wanita yang menyanyikan.

"Saya pula mesti bawakan lagu itu menjadi 'Sarah Suhairi' kerana tak boleh nak tiru gaya Andi Bernadee. Apa pun, saya harap semua penonton terhibur dengan persembahan berkenaan," katanya yang teruja bakal tampil dengan lagu baharu.

Mengulas juga kerjaya seni lain, Sarah berkata, dia ingin menceburi pengacaraan kerana mahu berkongsi banyak ilmu.

Katanya, dia tidak memilih lakonan kerana berasa kurang selesa untuk melakonkan sebarang watak.

"Saya pernah cuba berlakon sebelum ini, tapi untuk rasa serasi rasanya kena ambil masa. Buat masa sekarang lakonan bukan bidang sesuai untuk saya fokus menceburinya selain nyanyian atau pengacaraan," katanya.

NYANYI LAGU FAROUK

Cukup dikenali banyak merakamkan lagu hasil ciptaan rakan-rakan baiknya sebelum ini, Sarah berkata, tidak lama lagi dia akan melancarkan single solo baharu yang agak rancak hasil ciptaan komposer Farouk Roman.

Enggan berkongsi judul lagu itu lagi, Sarah berkata, dia sudah lama menyimpan impian untuk menyanyikan lagu air tangan daripada Farouk. Tetapi, katanya dia tidak mahu meletakkan harapan.

"Saya memang selesa 'go with flow' saja dan enggan berangan-angan dengan harapan yang tinggi. Bagi saya, amat bahaya jika seseorang individu itu meletakkan harapan yang tinggi dan gagal pula memilikinya.

"Kecewa kerana harapan tak jadi kenyataan ini impaknya agak besar pada diri. Ia umpama boleh buat kita 'jatuh terduduk yang perlukan masa lama untuk bangkit semula'. Jadi, saya tak nak seperti itu.

"Bagi saya, kita usaha saja apa yang termampu dan selebihnya biar Allah tentukan. Itu lebih baik untuk saya berasa sangat bersyukur pada setiap rezeki yang dikurniakan dan teruskan berusaha," katanya.

Berbicara juga peribadinya, Sarah berkata, buat masa ini dia belum terfikir lagi mahu menamatkan status solo dan mendirikan rumah tangga.

Katanya, dia masih muda dan urusan jodoh biarkan Allah yang merencana.

Menurut Sarah, dia kini tumpang gembira melihat rakan penyanyi lain yang muda dan tidak jauh beza dengan usianya naik pelamin dulu.

Katanya, jodoh mereka sudah sampai dan dia hanya mendoakan yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 6:00 AM