MIMPI Emma (kanan)  jadi kenyataan menjadi sebahagian keluarga Disney.
MIMPI Emma (kanan) jadi kenyataan menjadi sebahagian keluarga Disney.
Georgie Joseph


SEGELINTIR bakat kanak-kanak mungkin menanti lama untuk bersinar dalam bidang lakonan.

Namun, tidak buat pendatang baru Emma Sofea yang bertuah diberi kepercayaan melakonkan watak utama dalam program terbitan Disney berjudul Wizards of Warna Walk.

Emma yang baru berusia 13 tahun berjaya menghidupkan wataknya sebagai Amelia D’Cruz dengan cemerlang dalam program berkenaan.

Gaya lakonannya begitu bersahaja dan cukup sempurna untuk watak itu.

Berkongsi pengalaman terbabit drama yang ditayangkan seluruh Asia Tenggara itu, Emma berkata, dia tidak menyangka peluang keemasan itu datang kepadanya.

Pada mulanya dia tiada keyakinan untuk teruskan impian menjadi pelakon.

“Sejak kecil lagi, saya memang menyimpan impian untuk muncul di kaca TV tapi tidak pernah berkesempatan untuk hadir ke mana-mana uji bakat. Saya dapat tahu mengenai uji bakat ini daripada kawan-kawan dan mereka meminta saya mencuba nasib.

“Kawan-kawan dan keluarga yang mendorong saya untuk meneruskan walaupun saya ragu-ragu dengan kemampuan diri. Saya tak tahu pun saya hadir uji bakat untuk watak utama,” katanya.

Bagaimanapun, kebimbangan akhirnya bertukar teruja sebaik penggambaran bermula.

Menurut Emma, dia tidak menyangka set penggambarannya begitu gah.

“Saya sebenarnya lebih teruja berbanding gementar ketika mula-mula memasuki set penggambaran. Saya sangat teruja melihat prop yang amat gah.

“Saya tak ada sebarang jangkaan besar mengenai produksi, namun rupa-rupanya ia di luar apa yang saya bayangkan,” katanya.

Emma juga bertuah apabila perjalanannya dalam produksi itu dipermudahkan dan lancar. Paling menggembirakannya adalah semua yang terbabit tidak lokek dengan bantuan setiap kali dia memerlukan.

Semua yang terbabit termasuk pelakon lain sudah umpama keluarganya sendiri.

“Walaupun baru, saya mudah mencipta keserasian bersama pelakon lain yang terbabit termasuk watak adik-beradik saya Aiden dan bapa kami lakonan Datuk Afdlin Shauki dalam program itu.

“Lebih melucukan, saya rasa mudah untuk serasi dengan Afdlin disebabkan suaranya mirip suara bapa saudara saya. Serta-merta saya rasa bagaikan kami bersaudara.

“Bekerja dengan kru dan pelakon yang sangat luar biasa, ia sangat asing namun memberikan saya pengalaman menyeronokkan,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran menjayakan drama itu, Emma menyifatkan secara keseluruhannya dapat ditangani dengan baik. Bagaimanapun, dia akui berdepan sedikit kesukaran untuk menghafal skrip.

“Bahagian paling mencabar tentunya menghafal skrip kerana saya tidak pernah menghafal dialog yang sangat panjang. Namun berkat sokongan semua, saya dapat melakukannya,” katanya.

Emma yang kini makin dikenali memutuskan untuk tidak terlalu membebankan fikiran sekiranya berdepan kecaman. Dia sebaliknya mahu menangani perkara itu dengan lebih matang.

“Saya tahu pasti bukan semua akan suka saya di luar dan kadang-kadang boleh memberi kesan kepada diri sendiri. Tapi saya sentiasa percaya, selagi saya buat yang terbaik, saya akan bangga dan gembira.

“Asalkan saya gembira dan tidak lukakan hati sesiapa, saya okey. Saya tidak baca sangat komen di media sosial mengenai program ini kerana lebih suka menghabiskan masa menikmati kehidupan dan apa yang berlaku di sekeliling saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 6:30 AM