Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir bersama orang ramai yang mula memenuhi Masjid Putra.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir bersama orang ramai yang mula memenuhi Masjid Putra.
Mohd Husni Mohd Noor dan Siti A'isyah Sukaimi


PERKARANGAN Masjid Putra, Putrajaya mula dibanjiri orang ramai seawal jam 10 pagi ini bagi memberi sokongan kepada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis.

Orang ramai yang hadir masing-masing mengenakan pakaian tema warna putih sebagaimana yang diminta oleh pihak penganjur.

Tinjauan Harian Metro mendapati, pergerakan orang awam dan peserta himpunan juga berjalan lancar dengan kawalan trafik dan keselamatan oleh pihak polis; unit trafik Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan hidangan tengah hari kepada peserta himpunan yang hadir.

Turut kelihatan beberapa peniaga mengambil kesempatan menjual mafla Palestin dan baju bertemakan 'Selamatkan Palestin' kepada orang awam.

Program himpunan hari ini dimulakan dengan Forum Khas Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis yang menampilkan enam panel daripada pelbagai parti politik seperti imbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail; Naib Presiden PAN Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Kamarudin Md Noor dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Yusri Mohamad.

Forum berkenaan dikendalikan Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi.

Program kemudian diteruskan dengan solat Jumaat dengan khutbah khas akan disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Sejurus selesai solat Jumaat, kenamaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak; Presiden PAS yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berada di pentas utama himpunan bagi menyampaikan ucapan selain melancarkan Tabung Palestin dan menurunkan tandatangan atas kain rentang bantahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 1:22 PM